ARTIKEL

Kenali MySiren

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAHAGIAN A: Mengenai MySiren

1. Apakah itu MySiren?

MySiren ialah Sistem Amaran Awal (Early Warning System, EWS) Malaysia yang dibangunkan untuk memberi amaran kepada orang ramai semasa kecemasan, supaya mereka dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda.

Sistem ini menggunakan teknologi Cell Broadcast untuk menyiarkan amaran keselamatan penting kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas melalui rangkaian 4G dan 5G.

2. Mengapakah teknologi Cell Broadcast digunakan?

Sistem Cell Broadcast (CBS) ialah teknologi yang menyiarkan amaran melalui sel rangkaian mudah alih terpilih. CBS dapat menyampaikan amaran dengan pantas dan serentak, menyasarkan kawasan tertentu serta tidak memerlukan aplikasi atau langganan. Selain itu, amaran melalui CBS tidak menggunakan trafik data. Oleh itu, amaran masih boleh diterima walaupun rangkaian mengalami kesesakan yang tinggi atau kuota data telah habis. Teknologi ini berbeza daripada sistem berasaskan SMS, yang menghantar mesej kepada nombor telefon tertentu dan bergantung pada giliran penghantaran mesej.

3.Apakah jenis kecemasan yang boleh menyebabkan amaran dikeluarkan?

Amaran boleh dikeluarkan sekiranya terdapat ancaman serius dan mendesak terhadap nyawa, kesihatan, keselamatan atau harta benda akibat kejadian seperti cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar, insiden melibatkan bahan berbahaya, ancaman keselamatan awam atau kecemasan besar yang lain.

4. Siapakah yang boleh mengeluarkan amaran MySiren?

Hanya pegawai yang ditetapkan dan telah menjalani latihan dalam agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh menyediakan, meluluskan dan mengeluarkan amaran kecemasan awam melalui platform MySiren yang selamat.

5. Apakah kategori amaran yang boleh dikeluarkan?

Agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh mengeluarkan kategori amaran berikut mengikut jenis dan tahap keterukan kecemasan: National Alert, Extreme Alert, Severe Alert, Missing Person Alert, Test Alert dan Exercise Alert.

BAHAGIAN B: Cara amaran MySiren berfungsi

6. Adakah saya perlu mendaftar, melanggan atau memuat turun aplikasi?

Tidak. Pendaftaran, langganan atau aplikasi khusus tidak diperlukan.

7. Adakah saya memerlukan data mudah alih atau Wi-Fi?

MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast untuk menyampaikan notifikasi amaran melalui saluran siaran rangkaian mudah alih yang mengambil bahagian. Amaran tidak memerlukan data mudah alih atau Wi-Fi.

8. Adakah sistem ini mengetahui nombor telefon atau lokasi tepat saya?

Cell Broadcast tidak menghantar amaran kepada nombor telefon tertentu, sebaliknya menyiarkan amaran melalui menara pemancar mudah alih. Peranti yang memasuki kawasan liputan dan bersambung ke menara pemancar berkenaan boleh menerima amaran tersebut.

9. Bolehkah amaran disasarkan kepada kawasan tertentu?

Ya. Walau bagaimanapun, liputan sel rangkaian mungkin tidak sepadan sepenuhnya dengan sempadan pentadbiran. Oleh itu, sesetengah individu berhampiran sempadan kawasan sasaran mungkin menerima amaran walaupun berada sedikit di luar kawasan yang dimaksudkan.

10. Adakah saya akan menerima amaran jika saya memasuki kawasan terjejas kemudian?

Anda mungkin menerima amaran tersebut jika ia masih disiarkan apabila peranti anda memasuki kawasan berkenaan dan bersambung ke menara pemancar yang disasarkan.

11. Adakah amaran ini merupakan perkhidmatan komunikasi dua hala? Bolehkah saya menghantar amaran?

Tidak. Cell Broadcast ialah saluran amaran awam sehala. Jika anda memerlukan bantuan, gunakan kaedah menghubungi perkhidmatan kecemasan yang dinyatakan dalam amaran atau saluran rasmi.

12.Bolehkah pihak berkuasa mengeluarkan kemas kini bagi sesuatu amaran?

Ya. Agensi yang diberi kuasa boleh mengeluarkan mesej terkini mengikut perkembangan kecemasan atau mengeluarkan amaran All Clear apabila bahaya telah berlalu. Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan terkini yang disahkan dan terus merujuk saluran rasmi.

13.Adakah MySiren akan menggantikan saluran amaran yang lain?

Tidak. MySiren ialah saluran amaran kecemasan tambahan dan tidak seharusnya dijadikan satu-satunya sumber maklumat kecemasan. Orang ramai perlu terus memantau laman sesawang rasmi, radio, televisyen, media sosial yang disahkan, siren, pengumuman setempat dan arahan daripada perkhidmatan kecemasan.

14.Mengapakah saya menerima amaran MySiren dan SMS pada masa sama?

MySiren ialah saluran utama amaran kecemasan. SMS masih boleh dihantar bagi situasi kecemasan tertentu dan kepada peranti lama. Jika anda menerima kedua-duanya, patuhi arahan kecemasan yang terkandung dalam amaran tersebut.

BAHAGIAN C: Apa yang perlu dijangka dan dilakukan?

15. Bagaimanakah rupa dan bunyi amaran pada peranti?

Amaran akan dipaparkan dengan jelas pada skrin, disertai bunyi yang menarik perhatian dan getaran. Walau bagaimanapun, cara amaran dipaparkan mungkin berbeza mengikut model peranti, sistem pengendalian dan kategori amaran. Sebagai contoh, Extreme Alert akan menghasilkan bunyi amaran kuat seperti siren berserta getaran, manakala Active Shooter Alert tidak menghasilkan bunyi atau getaran. Sila rujuk Soalan 5 untuk kategori amaran.

16. Adakah amaran akan berbunyi jika telefon saya dalam mod senyap atau Jangan Ganggu (Do Not Disturb)?

National Alert dan Extreme Alert akan menghasilkan bunyi dan getaran walaupun telefon berada dalam mod senyap atau Jangan Ganggu (Do Not Disturb). Kategori amaran lain akan mengikut tetapan telefon.

17. Apakah yang perlu saya lakukan apabila menerima amaran?

Bertenang, baca keseluruhan mesej dan segera patuhi arahan yang diberikan. Orang ramai juga digalakkan supaya terus mengikuti saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

18. Apakah yang perlu saya lakukan jika saya sedang memandu atau menunggang?

Jangan memegang, membaca atau mengendalikan telefon ketika memandu atau menunggang. Pastikan kenderaan sentiasa dalam kawalan dan berhenti hanya di tempat yang selamat serta dibenarkan sebelum membaca amaran. Jika terdapat penumpang yang boleh membacanya dengan selamat, minta bantuan mereka.

19. Perlukah saya memberitahu orang lain tentang amaran tersebut?

Ya, terutamanya mereka yang berada berdekatan dan mungkin tidak menerima amaran, termasuk warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak, pelawat atau sesiapa yang tidak mempunyai telefon serasi. Pastikan mesej dikongsi dengan tepat.

20. Adakah semua orang perlu menghubungi perkhidmatan kecemasan selepas menerima amaran?

Tidak perlu. Jangan hubungi perkhidmatan kecemasan semata-mata untuk mengesahkan amaran atau mendapatkan maklumat umum. Hubungi perkhidmatan kecemasan hanya apabila bantuan segera diperlukan atau anda mempunyai maklumat penting untuk dilaporkan.

BAHAGIAN D: Keserasian peranti, tetapan dan liputan

21. Telefon manakah yang boleh menerima amaran MySiren?

Peranti yang serasi mesti menyokong Wireless Emergency Alerts (WEA), menggunakan perisian terkini yang menyokong konfigurasi Malaysia, bersambung ke rangkaian 4G atau 5G dan mempunyai tetapan amaran berkaitan yang diaktifkan, jika berkenaan. MySiren dijangka berfungsi pada sistem pengendalian berikut:

  • iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi lebih baharu.
  • Peranti Android yang menggunakan Android 12 atau versi lebih baharu.
  • Peranti Huawei yang menggunakan EMUI 16 atau versi lebih baharu.

(Bersambung pada 30 November 2026)

BERITA LAIN

NFDP pentas cungkil bakat muda

KARNIVAL Bola Sepak Bawah 16 Tahun Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Riveria, Debak baru-baru

BERITA TERBARU