KARNIVAL Bola Sepak Bawah 16 Tahun Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Riveria, Debak baru-baru ini dilihat memberi manfaat berganda bagi memperkasakan pembangunan sukan bola sepak di Sarawak.
Penganjuran karnival tersebut bukan sahaja menjadi pentas bagi semua pemain yang terlibat untuk mengetengahkan bakat masing-masing.
Malah, turut menjadi landasan terbaik untuk mengenal pasti pemain pelapis yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohamad Razi Sitam.
Sambil menzahirkan rasa teruja dengan penganjuran karnival terbabit, beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas berkata, Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) memperoleh manfaat berganda menerusi penganjuran karnival itu.
“Kita menyambut baik usaha penganjuran karnival ini kerana bukan sahaja dapat menyaksikan bakat pemain muda yang terlibat, malah karnival ini juga dapat menjadi batu loncatan bagi mereka untuk membina kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional pada suatu hari nanti,” ujar Dr Razi kepada Arena Suara Sarawak.
Terdahulu, beliau diberi penghormatan untuk menyempurnakan majlis perasmian karnival berkenaan.
Turut hadir Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Khairulddin Qalam Daud; Presiden BDFA, Azmi Abdullah; Setiausaha Kehormat BDFA, Saiful Hanizam Suhaini serta beberapa tetamu undangan lain.
Beliau mengakui penganjuran karnival terbabit secara tidak langsung dapat merancakkan lagi pembangunan sukan bola sepak bukan sahaja di Bahagian Betong, malah di seluruh Sarawak.
Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana memilih Debak sebagai salah satu daripada gelanggang karnival berkenaan.
“Pihak kita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana memilih Debak sebagai salah satu daripada gelanggang untuk karnival ini,” tegas beliau.
Karnival Mini Bola Sepak NFDP Peringkat Negeri Sarawak 2026 dianjurkan oleh FAS dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), NFDP, BDFA dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei (PBBS).
Saingan berlangsung selama dua hari, dari 21 hingga 22 November. Dua kategori dipertandingkan, iaitu kategori bawah 14 tahun di Sarikei dan kategori bawah 16 tahun di Padang Bola Sepak Riveria, Debak.
Dalam pada itu, saingan berakhir dengan kejayaan pasukan TamanMu merangkul gelaran juara.
Wakil dari Samarahan itu menamatkan karnival yang menggunakan format liga sepusingan dengan mengumpul 13 mata selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam kelima-lima perlawanan sepanjang dua hari karnival berkenaan berlangsung.
TamanMu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Saribas FC pada aksi pertama sebelum menumpaskan Seberang City FC 2-0 pada aksi kedua.
Pasukan itu terikat tanpa jaringan pada aksi ketiga menentang Team Gen’z Debak Betong U16.
TamanMu turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Anak Kampung FC pada aksi keempat sebelum menutup tirai saingan dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Bintangor FC U16 pada aksi terakhir.
“Kami gembira dengan kejayaan TamanMu muncul sebagai juara dalam karnival ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada semua pemain. Kerja keras mereka selama dua hari berjaya memastikan gelaran juara menjadi milik kami,” ujar Ketua Jurulatih TamanMu, Padli Rapaii.
Padli turut memuji prestasi semua pemainnya sepanjang mengharungi saingan selama dua hari itu.
Katanya, pasukannya menerima tentangan sengit daripada pemain lawan dalam setiap perlawanan yang dilalui.
“Apa-apa pun, terima kasih kepada semua pemain, barisan jurulatih, pegawai dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan TamanMu sepanjang karnival ini,” tambahnya.
Sementara itu, gelaran naib juara diraih oleh Seberang City FC yang berjaya mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
Tempat ketiga diraih oleh Team Gen’z Debak Betong U16 dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri.
Bintangor FC pula menduduki tempat keempat dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Pasukan Anak Kampung FC dan Saribas FC masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam dengan satu mata.
Pada masa sama, pasukan juara dan naib juara menerima hadiah berupa wang tunai, piala, pingat dan sijil.
Pasukan yang menduduki tempat ketiga dan keempat pula menerima hadiah berupa wang tunai, pingat dan sijil.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Azmi Abdullah.



