Air ialah sumber asas utama untuk kehidupan.
Namun begitu, air juga berpotensi menjadi tempat pembiakan patogen yang boleh mendatangkan bahaya kepada tubuh badan manusia.
Langkah berjaga-jaga hendaklah diambil untuk mengetahui sama ada air yang diperoleh selamat atau tidak untuk diminum dan digunakan dalam kehidupan seharian.
Penyakit bawaan air terjadi apabila seseorang itu terdedah dengan punca air yang tercemar dengan mikrob mahupun patogen yang menyebabkan penyakit.
Air yang tercemar dengan patogen, bahan kimia atau toksin boleh menyebabkan penyakit bawaan air jika diminum, dihidu atau terkena bahagian kulit, mata, telinga, atau pada mukosa.
Mukosa yang juga dikenali sebagai membran mukus, ialah lapisan sel yang lembut, lembap dan merah jambu yang melapisi beberapa saluran dan rongga badan dengan bukaan terdedah kepada persekitaran luaran.
Air yang tercemar dan kejadian penyakit bawaan air sering berlaku apabila terjadinya hujan yang terlalu lebat, terutama ketika musim tengkujuh yang mengakibatkan banjir.
TERCEMAR
Air juga akan tercemar akibat daripada sisa pembuangan industri dan pertanian yang dilepaskan ke sungai dan tasik tanpa rawatan.
Ketika musim banjir, loji rawatan sisa kumbahan akan penuh dan melimpah keluar dari tempatnya.
Hal ini menggalakkan pembiakan bakteria seperti Legionella dan Escherichia coli pada kawasan air yang bertakung akibat banjir.
Penyakit bawaan air akibat terdedah dengan air yang tercemar mendatangkan masalah kesihatan.
Berenang atau memancing di kawasan air tercemar dan memakan hasil laut yang tercemar adalah penyebab sering terjadinya penyakit ini.
Contoh penyakit bawaan air ialah keradangan pada perut serta usus, demam kepialu dan jangkitan E. Coli.
Keradangan perut dan usus sering terjadi kerana jangkitan virus yang dikenali sebagai Norovirus.
Virus ini mengganggu fungsi pencernaan usus, menyebabkan cirit-birit dan sakit perut jika berada di dalam badan manusia.
Pesakit yang dijangkiti oleh Norovirus juga mengalami loya, muntah-muntah dan demam selama dua hingga tiga hari.
Ditemui oleh saintis warganegara Amerika, Dr. Salmon, salmonella ialah bakteria yang hidup dan membiak dalam najis dapat tersebar melalui daging mentah, telur mentah, buah-buahan, sayur-sayuran dan air yang tercemar.
AIR BERSIH
Sumber air juga boleh tercemar dengan salmonella apabila binatang liar membuang najis ke dalam sungai dan punca air bersih.
Salmonella Typhi ialah bakteria yang menyebabkan demam kepialu.
Demam kepialu adalah masalah yang sering terjadi di negara yang sedang membangun atas faktor tiada penjagaan kebersihan yang baik.
Bakteria salmonella typhi membiak di dalam usus dan darah setelah pesakit terdedah dengan makanan dan minuman yang tercemar dengan sisa najis pesakit demam kepialu.
Apabila najis pesakit terdedah dengan punca air akibat daripada pengurusan sisa kumbahan yang tidak sempurna, punca air yang tercemar juga boleh mencemarkan sumber makanan yang menggunakan air terbabit.
Escherichia Coli atau lebih dikenali sebagai E. Coli, adalah sejenis bakteria yang hidup di dalam usus manusia dan binatang.
Walaupun tidak semua E.Coli berbahaya, spesies Verotoxic E. Coli, boleh menyebabkan kematian.
Jangkitan Verotoxic E. Coli menyebabkan sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah dan demam panas.
Jika gejala ini berlarutan, ia boleh menyebabkan dehidrasi, jangkitan usus dan kegagalan buah pinggang.
Patogen bawaan air berada di mana-mana.
Langkah sewajarnya perlu diambil untuk mengelak jangkitan daripada patogen yang berada di dalam air.
Walaupun negara Malaysia mempunyai infrastruktur yang moden dan sistem sanitasi yang canggih, air yang dirawat tiada jaminan 100 peratus bebas daripada patogen.
Satu lubang atau retakan kecil pada paip air boleh menyebabkan seluruh punca saluran air berisiko untuk tercemar.
Kepentingan mengetahui risiko terdedah kepada air yang tercemar ketika melancong, berkhemah, atau ketika menguruskan kegunaan air di rumah amat perlu untuk mengelak bahaya penyakit bawaan air.
Pastikan hanya minum air yang bersih dari dalam botol tertutup elok ketika melancong ke luar negara.
Apabila terdapat keraguan akan kualiti punca air yang digunakan, cuba elakkan penggunaannya sama sekali.
Akan tetapi jika tiada pilihan, boleh amalkan kaedah penulenan yang betul agar ia selamat untuk digunakan. Sentiasa peka dan berjaga-jaga untuk keselamatan anda seisi keluarga.



