KUCHING: Kunjungan skuad Kuching City FC ke bandar Mukah semalam meninggalkan satu kenangan manis buat Ethan Royce, 8.
Pelajar SJK (C) Chong Boon, Mukah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu berjaya mengabadikan kenangan bersama-sama beberapa pemain hebat Kuching City FC musim 2025/ 2026 menerusi rakaman gambar sebelum aksi persahabatan skuad Pilihan Mukah yang berlangsung di Padang Mesra MDDM.


Ethan Royce kenal semua nama-nama pemain pasukan ‘City Boys’ termasuk kesemua bintang import.
Jika sebelum ini beliau hanya dapat menyaksikan kelincahan pemain terbabit melalui kaca televisyen atau telefon bimbit, semalam segalanya menjadi mimpi indah buat dirinya yang dapat melihat secara dekat kelibat pemain Kuching City FC.
Perlawanan persahabatan sempena siri jelajah pramusim Kuching City FC ke Mukah semalam yang berkesudahan kemenangan (9-1) berpihak kepada pasukan pelawat.

