SIBURAN: Lima individu terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beratok, Jalan Kuching–Serian, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kenari dan sebuah Perodua Kancil.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan seorang mangsa, iaitu pemandu Perodua Kenari, mengalami kecederaan.
“Manakala empat lagi mangsa yang berada di dalam Perodua Kancil terdiri daripada tiga mangsa cedera ringan dan seorang tidak mengalami kecederaan,” menurut kenyataan itu.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan dan tiba pada jam 7.24 malam.
Kesemua mangsa didapati tidak tersepit dan berjaya dikeluarkan dengan selamat menggunakan papan spinal sebelum diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.26 malam dan ditamatkan pada jam 7.40 malam. Mangsa yang cedera dan berada dalam keadaan stabil dihantar ke Hospital Serian menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” menurut kenyataan itu.



