ARTIKEL

Ahmad Zahid mempengerusikan sesi ‘Pre-Council’ bersama delegasi Malaysia bagi membincangkan secara terperinci tentang lawatannya ke Dubai, UAE. - Foto: FB Ahmad Zahidi Hamidi

Kepakaran Space42 dalam AI berpotensi tingkat keupayaan Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUBAI, Emiriah Arab Bersatu (UAE): Kepakaran yang dimiliki Space42, sebuah pusat inovasi teknologi angkasa dalam kecerdasan buatan (AI) dan sambungan satelit, mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan Malaysia.

Ini khususnya dalam pemantauan bencana alam dan tindak balas pantas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan teknologi canggih ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh infrastruktur komunikasi negara, malah kita juga akan dapat memastikan rakyat Malaysia terus menikmati akses digital yang lebih luas dan selamat,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.

Pada Khamis, Ahmad Zahid bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke Space42 di Abu Dhabi, UAE. 

Space42 merupakan pusat inovasi yang memanfaatkan teknologi AI, komunikasi satelit dan analitik geospatial.

Program sempena lawatan rasmi beliau selama tujuh hari ke UAE bermula 13 November itu menandakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dengan UAE.

Kerjasaman ini ingin memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan ketahanan serta memperkukuh kerjasama serantau.

“Melalui kerjasama strategik ini, saya optimis bahawa kita mampu membina masa depan di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya.

Dalam satu lagi hantaran, Ahmad Zahid berkata setibanya di Dubai semalam, beliau telah mempengerusikan sesi ‘Pre-Council’ bersama delegasi Malaysia bagi membincangkan secara terperinci tentang lawatannya ke sini.

“Tumpuan utama kami adalah untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor halal global serta meneroka peluang strategik yang dapat memperhebat pengembangan industri ini di pasaran antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zahid dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia. – BERNAMA (Zarul Effendi Razali)

BERITA LAIN

BERITA TERBARU