SELANGAU: Projek menaik taraf Jalan Rumah Panjang Magdelene Entayang, Jalan Dijih, di sini dijangka memudahkan akses penduduk selain menyokong pembinaan penempatan baharu membabitkan 26 isi rumah.
Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN N.59 Tamin itu diserahkan untuk pelaksanaan hari ini dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu dilantik sebagai agensi pelaksana.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan konkrit sepanjang 300 meter dengan lebar lima meter, dengan kerja bermula hari ini dan dijadualkan siap pada 19 Disember depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang, berkata penyediaan kemudahan asas perlu bergerak seiring dengan perkembangan komuniti, khususnya apabila penduduk mengambil inisiatif membangunkan penempatan baharu.
Jelasnya, keperluan masyarakat sentiasa menjadi antara pertimbangan utama dalam pelaksanaan projek RTP di DUN Tamin, dengan keutamaan diberikan kepada kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
“Apabila masyarakat sendiri mengambil inisiatif untuk membangunkan penempatan yang lebih baik, kita perlu membantu dari aspek kemudahan asas yang bersesuaian supaya usaha mereka dapat berjalan dengan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Komuniti Rumah Panjang Magdelene Entayang kini dalam proses menyiapkan struktur rumah panjang baharu, dengan kerja pembinaan dilaksanakan penduduk sendiri secara berperingkat mengikut kemampuan dan keperluan mereka.
Sehubungan itu, pembinaan jalan konkrit berkenaan penting bagi melancarkan proses pembinaan rumah panjang baharu, termasuk memudahkan pergerakan penduduk, pengangkutan bahan binaan serta urusan keluar masuk ke kawasan penempatan.
Jalan berkenaan dijangka bukan sahaja memudahkan urusan pembinaan, malah menjadi akses utama kepada komuniti selepas penempatan baharu itu siap sepenuhnya.
Pelaksanaan projek itu mencerminkan kerjasama antara Pusat Khidmat DUN Tamin, JKR Bahagian Sibu, kontraktor dan komuniti setempat dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan sebenar penduduk.
Sesi serah tapak turut dihadiri wakil JKR Bahagian Sibu, Tr. Magdelene Entayang bersama penduduk rumah panjang, pihak kontraktor serta wakil Pusat Khidmat DUN Tamin, Kr. Nyireng Saleh dan Kr. Ajan Dau.



