SIBU: Hari Raya Aidilfitri pada hari keempat dimeriahkan dengan ziarah raya oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, ke beberapa kediaman kenamaan di sini, hari ini.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu sekitar jam 11 pagi, Abang Johari serta rombongan meneruskan ziarah raya pertama ke kediaman Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, di Jalan Kangkong.
Selepas meluangkan masa kira-kira lebih sejam, kunjungan mereka diteruskan ke kediaman bekas Ahli Parlimen Igan, Datuk Seri Abdul Wahab Dolah, di Kampung Nangka di sini.
Abang Johari dan rombongan dijadual meneruskan ziarah raya ke kediaman Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Fauzi di Jalan Jasmine pada jam 4.30 petang.
Pada sebelah malamnya, Abang Johari dijadual akan mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, ke Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bahagian Sibu di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada jam 8 malam.
Turut mengiringi Abang Johari dalam ziarah rayanya ke Bahagian Sibu ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, serta kenamaan lain.





