KUCHING: Segala keputusan akhir di tangan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, segala keputusan mengenai calon, parti atau pertukaran kerusi PRN-12 terletak di tangan Abang Johari yang juga Ketua Menteri.
“Calon yang betul dan boleh menang amat penting dalam memenangi PRN-12 kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Suara Sarawak mengulas mengenai saranan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing yang berpendapat pengagihan kerusi ‘tradisi’ boleh mengundang kesukaran dalam GPS menjelang PRN-12.
Kata Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, GPS tidak harus mengemukakan calon yang salah.
“Ini kerana PRN-12 amat penting bagi GPS apabila buat pertama kalinya kita berdiri di atas kaki sendiri.
“Kita adalah parti tempatan yang memperjuang hak Sarawak sepenuhnya,” ujarnya.