SEREMBAN: Kerajaan bercadang mewujudkan perkhidmatan kereta api kargo yang menghubungkan terus Kuala Lumpur ke Bangkok di Thailand bagi meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara sekali gus mengintegrasikan ekonomi ASEAN.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyokong penuh usaha berkenaan yang dijangka dapat dimulakan tahun ini.
“Jadi, ini perlu diusahakan bersama oleh Malaysia dan Thailand, lawatan saya ke Bangkok dua hari lepas amat berhasil.
Saya sempat berbincang dengan Menteri Pengangkutan (Suriya Juangroongruangkit) yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand yang memberikan petanda positif untuk adakan kerjasama erat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang dan pemberian insentif kepada 219 pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2024 Peringkat Parlimen Seremban membabitkan peruntukan sebanyak RM225,000 di sini, semalam.
Mengulas mengenai hasrat kedua-dua negara untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok tahun ini, Ahli Parlimen Seremban itu berkata ia boleh dijadikan produk pelancongan sekali gus menggalakkan pertumbuhan industri berkenaan antara Malaysia dan Thailand.



