PADA tahun 2025, tiga tahun dari sekarang, seluruh Sarawak bakal dihubungkan menggunakan jalan darat, termasuk untuk seluruh kawasan pesisir yang sememangnya mempunyai banyak sungai.
Sebelum ini, jika menggunakan jalan pesisir, masyarakat perlu menggunakan perkhidmatan feri bagi merentasi sungai-sungai yang luas dan besar di negeri ini.
Contohnya untuk ke Maludam dari Kuching, perlu menggunakan empat kali perkhidmatan feri, iaitu merentasi Sungai Batang Samarahan, Sungai Batang Sadong, Sungai Batang Lupar dan Sungai Batang Saribas.
Atas inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan peruntukan sendiri, menjelang 2025, tiada lagi perkhidmatan feri di negeri ini susulan pembinaan kesemua sembilan jambatan untuk menghubungkan jalan utama dan jalan pesisir.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut demi kemudahan rakyat di negeri ini dan kesemuanya tiada tol.
“Untuk itu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan keseluruhan sebanyak RM11 bilion dengan RM5 bilion untuk jambatan serta jalan pesisir, manakala RM6 bilion bagi pelaksanaan projek Jalan Utama Kedua (JUK).
“Rancangan jangka panjang tersebut adalah bagi memperbaiki rangkaian infrastruktur jalan raya Sarawak dengan tumpuan untuk menjana peluang pertumbuhan sosioekonomi di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, rangkaian jalan pesisir adalah sejauh 896 km melibatkan 23 pakej dan JUK sejauh 235 km apabila siap kelak akan memendekkan masa perjalanan serta melengkapkan rangkaian jalan yang terputus di antara selatan, tengah dan utara Sarawak.
Sementara tujuan pembinaan projek JUK adalah untuk melengkapi jaringan jalan pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dengan pembinaan sudah bermula pada penghujung 2020 dan dijangka siap 2025.
Ia berrmula dari Kota Samarahan, melalui Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau, Kabong, Roban, Tanjung Manis seterusnya ke LPB. Laluan lain menghala ke Lingga, Sri Aman dari Sebuyau yang juga menghubungkan ke LPB.
Apabila siap, ia dijangka memendekkan masa perjalanan dari enam jam kepada dua jam setengah dari Kuching ke Sibu dan sebaliknya.
Di bawah program ini, terdapat 13 pakej kerja yang melibatkan pembinaan jalan dan jambatan baharu. Enam pakej kerja sedang ditender serta dalam fasa pembinaan.
JUK juga akan membuka tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan penempatan yang terletak antara jalan pesisir dan LPB. Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak-Sejingkat bukan hanya mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah akan melengkapkan laluan di sepanjang jalan pesisir.