KUCHING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan peruntukan RM1.831 bilion kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak bagi melaksanakan 27 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata ia merangkumi 20 projek program jalan luar bandar, dan tujuh projek jambatan luar bandar.
“Setakat ini sebanyak tiga projek sudah siap, manakala selebihnya sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya dalam ucaptama penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak turut memberi peruntukan besar untuk menyelesaikan masalah hakisan pantai dan tebing sungai di negeri ini.
“Bagi perlindungan hakisan pantai, jumlah peruntukan yang diluluskan ialah sebanyak RM576 juta melibatkan sejumlah 26 projek di kawasan pesisir.
“Sehingga kini, lima projek sudah siap satu dalam pembinaan dan 20 projek dalam peringkat perancangan.
“Apabila siap sepenuhnya, ia akan melindungi kira-kira 26 kilometer pesisir pantai dan memberi manfaat kepada sekitar 38,000 penduduk,” ujarnya.
Tambahnya, sejumlah RM40 juta turut diluluskan bagi lima projek pendalaman muara sungai di Sematan, Buntal, Bako, Sebuyau dan Limbang.
“Setakat ini masing-masing satu projek sudah siap dan dalam pembinaan manakala tiga lagi projek dalam peringkat perancangan.
“Kesemua projek ini apabila siap dijangka memberi manfaat kepada sekitar 2,000 nelayan,” jelasnya.
Bagi projek melibatkan sungai pula, beliau berkata sejumlah RM738 juta diperuntukkan kepada JPS Sarawak untuk melaksanakan tujuh projek perlindungan hakisan tebingan, satu kajian kebolehlaksanaan serta kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pembersihan dan pemulihan.
“Kesemua tujuh projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2028, dan akan memberi manfaat kepada lebih 24 kampung dengan anggaran 11,000 penduduk yang tinggal di sepanjang tebing sungai,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kekal menjadi inisiatif penting dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar.
“Sehingga kini seluas 153,000 hektar NCR telah dibangunkan dengan tanaman sawit melibatkan seramai 42,500 pemilik tanah.
“Sementara di bawah program pembangunan tanah SALCRA, sebanyak 28,321 lot atau 89 peratus daripada 31,777 lot sudah ukur manakala 19,448 lot atau 69 peratus telah dikeluarkan hak milik tanah.
“Kementerian sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Tanah dan Survei untuk mempercepatkan baki pengeluaran hak milik tanah,” tambahnya.
Bagi pembayaran pulangan bersih kepada peserta SALCRA, beliau berkata sejumlah RM36 juta diluluskan bagi tahun kewangan 2025 melibatkan peserta dari ladang matang dan produktif.


