KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan bantuan kerajaan mesti disalurkan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Beliau berkata Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada usaha membela golongan miskin, terutama masyarakat miskin bandar, supaya tidak tercicir daripada pembangunan negara.
Menurutnya, golongan miskin sering berdepan kesukaran mendapatkan pembelaan berbanding mereka yang mempunyai pengaruh dan kedudukan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Taman Tun Dr Ismail hari ini.
Pada majlis itu, Hannah Yeoh mengumumkan peruntukan khas RM100,000 kepada Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Bukit Kiara bagi pembangunan tapak, selain menegaskan kepentingan memilih pemimpin yang bersih untuk menyelesaikan masalah rakyat seperti dipetik TVS.


