KUCHING: Kerajaan Persekutuan terbuka untuk meneroka model pembangunan lapangan terbang secara desentralisasi bagi cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan tersebut mencerminkan model pembangunan lebih kolaboratif yang membolehkan Kerajaan Sarawak memainkan peranan lebih besar dalam perancangan dan pelaksanaan projek berkenaan.
“Cadangan NKIA merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau selain meningkatkan kesalinghubungan penumpang dan pergerakan kargo.
“Kerajaan Sarawak kekal komited dalam memperkukuh infrastruktur penerbangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masa depan serta peningkatan permintaan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, perkara itu antara hasil utama kunjungan hormat beliau kepada Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook di Putrajaya pada 26 Mei lalu.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan beberapa perkara strategik melibatkan pembangunan penerbangan, kesalinghubungan domestik, infrastruktur kereta api dan isu logistik yang memberi kesan kepada Sarawak.
“Pertemuan ini turut menyentuh isu kenaikan tambang penerbangan domestik di Sarawak termasuk cadangan menghidupkan semula laluan Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu dan Kuching-Miri di bawah kerangka Kewajipan Perkhidmatan Awam (PSO).
“Cadangan tersebut mampu membantu meningkatkan kesalinghubungan dan mengurangkan beban kewangan rakyat Sarawak yang menggunakan perkhidmatan penerbangan dalam negeri,” jelasnya.
Beliau berkata, kesalinghubungan udara amat penting bagi Sarawak memandangkan keluasan geografi dan taburan penduduk yang berselerak.
“Menghidupkan semula laluan ini di bawah kerangka PSO boleh membantu menjadikan perjalanan domestik lebih mampu milik dan mudah diakses rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony Loke mencadangkan agar AirBorneo mempertimbangkan pengoperasian laluan tersebut secara komersial menggunakan pesawat ATR72 sedia ada.
Perbincangan turut menyentuh perkembangan terkini AirBorneo susulan pengambilalihan operasi MASwings oleh Kerajaan Sarawak termasuk pelan peluasan perkhidmatan melangkaui rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Sementara itu, Lee turut mengumumkan penerbangan tambahan antara Miri dan Bario sempena Festival Makanan dan Kebudayaan (Pesta Nukenen) yang dijadual berlangsung pada Julai depan.
Beliau berharap lebih ramai pengunjung mengambil peluang mengunjungi Bario bagi menikmati keunikan budaya, suasana tanah tinggi dan hospitaliti masyarakat setempat.
Selain itu, Lee memaklumkan pertemuan berkenaan turut membincangkan cadangan projek landasan kereta api Bintulu-Samalaju di bawah inisiatif Trans-Borneo Railway.
“Projek tersebut penting dalam memperkukuh kesalinghubungan industri dan logistik antara Bintulu dan Samalaju, khususnya bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri pada masa depan.
“Selain itu, turut dibincangkan adalah pelaksanaan keperluan Peranti Had Kelajuan (SLD) bagi kenderaan komersial, kerana pengusaha lori di Sarawak menyuarakan kebimbangan berhubung jumlah pembekal dan pemasang SLD yang masih terhad di negeri ini,” ujarnya.
Anthony Loke bagaimanapun memaklumkan jumlah pembekal dan pemasang SLD telah meningkat dengan ketara bagi memenuhi permintaan pengusaha termasuk di Sarawak.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Wong Hee Sieng serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkaitan.


