SONG: Kerajaan merancang untuk membina jaringan jalan raya bagi menghubungkan kawasan Nanga Semaram, Kanowit ke Nanga Beguang terus ke seberang bandar Kapit.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan jaringan jalan sebelah kiri mudik Sungai Batang Rajang ini telah lama dirancang untuk keselesaan dan boleh mengangkat sosioekonomi penduduk di sepanjang sungai terpanjang di Malaysia itu.
“Kini, setelah jalan dari Sibu/Kanowit-Song-Kapit siap, secara tidak langsung jalan pengangkutan air atau perkhidmatan bot ekspres sudah kurang atau banyak yang dihentikan.
“Perkara ini juga menyebabkan, penduduk di sebelah kiri Sungai Batang Rajang bermula dari Semaram hingga ke bandar Kapit berhadapan dengan masalah ketiadaan perkhidmatan pengangkutan untuk menghubungkan mereka ke kawasan luar,” katanya.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata demikian menerusi kenyataan sempena perasmian Safari Rakit Baleh-Kapit Tahun 2023 Edisi ke-26 di Rumah Lucy Nanga Lanang, Sungai Tekalit Katibas Song, Kapit, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nanta memberitahu beliau sendiri telah meminta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Datuk Zahrul Hakim Abdullah dibawa menggunakan bot laju dari Semaram ketika datang melawatnya semasa mendapatkan rawatan lutut di hospital sebelum ini.
“Perkara tersebut bagi membolehkan beliau melihat di kawasan seberang sebelah kiri Sungai Batang Rajang yang tidak mempunyai jalan raya.
“Sebab itulah kita akan buat jalan di kawasan tersebut, tetapi sama ada boleh disambung dengan jalan persekutuan, jalan negeri atau menggunakan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA)… itu tidak penting, yang penting jalan ia akan dibuat. Semuanya sudah dirancang,” ujar beliau


