ARTIKEL

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian. FOTO GHAZALI BUJANG

Kerajaan rangka pelan induk saliran menyeluruh atasi banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang merangka pelan induk saliran yang lebih menyeluruh dan terancang bagi mengatasi masalah banjir yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim.

Langkah itu penting berikutan hujan lebat luar jangka, tempoh monsun yang lebih panjang serta peningkatan paras laut yang memberi kesan besar kepada kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku agensi teknikal utama terus diberi tanggungjawab dalam penyediaan dasar serta pelaksanaan projek tebatan banjir dan infrastruktur saliran.

Usaha itu, katanya, memerlukan kerjasama berterusan antara pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negeri terus diperkukuh.

“Pelbagai projek JPS yang dibiayai kerajaan negeri dan Persekutuan sedang berjalan di seluruh Sarawak. Di bawah RMK-12, kerajaan negeri memperuntukkan RM96.8 juta untuk melaksanakan 23 projek tebatan banjir dan saliran bandar, dengan 22 projek kini dalam proses reka bentuk sebelum dijangka memasuki fasa pembinaan bermula 2026.

“Selain itu, kerajaan Persekutuan meluluskan RM191 juta bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak yang merangkumi pakej di Samarahan, Kuching dan Matang. Ketiga-tiga pakej tersebut sedang berjalan dan dijangka siap antara Mei 2026 hingga April 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 hari ini.

Menurut Kui Hian, Projek RTB Sungai Miri juga sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada pertengahan 2026, manakala RTB Limbang berada pada fasa tender, sementara RTB Beradek Semilang di peringkat pra-pelaksanaan.

Katanya, kerajaan turut menerima kelulusan bagi projek berimpak besar, iaitu RTB Bandaraya Kuching Fasa 2 (Pakej Penuh) bernilai RM2.48 bilion yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

“Projek mega ini merangkumi pembinaan dua jambatan baharu di Jalan FAC dan Jalan Matang, sebuah baraj, pintu kawalan pasang surut serta jajaran lencongan sepanjang enam kilometer.

“Pelaksanaannya dijadualkan bermula 2027 hingga 2033,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU