BINTULU: Kerajaan Sarawak akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan Pelabuhan Bintulu bermula 1 September ini selepas semua syarat yang dipersetujui bersama Kerajaan Persekutuan berjaya dipenuhi, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, antara syarat utama dalam proses pengambilalihan itu ialah pengambilan semua kakitangan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) oleh Kerajaan Sarawak, pemulangan sebahagian aset BPA dan pembayaran pampasan aset kepada Bintulu Port Holdings Berhad.
Menurutnya, pemenuhan ketiga-tiga syarat berkenaan membolehkan Kementerian Pengangkutan Malaysia mewartakan pembubaran BPA yang akan berkuat kuasa pada 31 Ogos 2026.

“Hari ini kita telah diberitahu bahawa Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke telah menandatangani pewartaan bagi menamatkan kuat kuasa Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 yang akan berkuat kuasa pada 31 Ogos ini.
“Bermakna mulai 1 September 2026, Kerajaan Sarawak akan mengurus Pelabuhan Bintulu. Kakitangan sedia ada dikekalkan dan mereka diberikan pilihan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perpisahan Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan penyerahan surat persaraan kakitangan BPA di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Douglas berkata pengambilalihan itu membuktikan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak mampu menyelesaikan isu yang kompleks demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh tiga tahun rundingan dan pelaksanaan proses pengambilalihan tersebut.
Menurut beliau, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu merupakan satu pencapaian penting bagi Sarawak dan diyakini mampu memperkukuh kedudukan pelabuhan itu sebagai hab logistik serta perdagangan utama negara.


