KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk memberi tumpuan melahirkan guru khusus bagi mengajar kanak-kanak prasekolah yang menghidap autisme.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kanak-kanak autisme boleh membesar secara normal selagi autisme ditangani pada usia awal.
Melihat kepada Singapura katanya, negara tersebut mempunyai organisasi yang melahirkan guru khusus untuk membantu kanak-kanak autisme.
“Menerusi program yang dibuat oleh organisasi tersebut melibatkan guru, ia banyak membantu kanak-kanak berkenaan. Jadi, menjadi keperluan kepada kita untuk mempunyai guru khusus sendiri bagi mengendalikan golongan sasar.
“Kita perlu melatih guru-guru khusus kerana kanak-kanak autisme berbeza dengan kanak-kanak biasa, maka memerlukan cara masing-masing untuk mendidik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Seminar Kesedaran Autisme Peringkat Negeri Sarawak di Auditorium Sekolah Seni Malaysia Sarawak di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abang Johari mendedahkan bahawa Sarawak telah memberi peruntukan khas kepada Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak untuk melatih guru-guru di kawasan itu.
“Jadi kita akan mempunyai guru sendiri yang pakar dalam mengendalikan kanak-kanak autisme. Jika guru-guru ini ingin melanjutkan pelajaran dan mengambil ijazah sarjana dalam bidang itu, mereka akan dihantar ke Melbourne untuk dilatih di kampus utama Swinburne.
“Apabila kita mempunyai guru terlatih ini, barulah pendekatan kita dalam menangani autisme akan menjadi lebih berkesan,” katanya.



