KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri pada tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bagaimanapun, katanya kementerian serta pemimpin negeri dijangka tetap menganjurkan rumah terbuka masing-masing sama ada secara peribadi atau melalui kementerian.
“Saya difahamkan kemungkinan tiada penganjuran rumah terbuka Aidilfitri peringkat kerajaan negeri pada tahun ini.
“Namun kementerian dan ahli politik mungkin akan mengadakan rumah terbuka masing-masing, tidak kira secara peribadi atau melalui kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Persembahan Sarkas ‘The Great British Circus’ di sini, hari ini.
Abdul Karim turut memaklumkan bahawa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga tidak akan mengadakan rumah terbuka tahun ini kerana masih dalam tempoh berkabung selepas pemergian isterinya dalam tempoh kurang setahun.
Beliau berkata keputusan untuk tidak mengadakan rumah terbuka oleh Premier dibuat lebih awal sebelum Kerajaan Persekutuan mengeluarkan saranan berkaitan langkah penjimatan.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijangka mengadakan rumah terbuka Aidilfitri.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak pasti sama ada majlis tersebut akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching ataupun di Astana Negeri Sarawak.
Beliau berkata beliau sendiri serta beberapa menteri lain dijangka tetap mengadakan rumah terbuka Aidilfitri masing-masing, dengan maklumat lanjut akan dimaklumkan melalui kementerian.

