KUCHING: Sarawak berpotensi memperoleh semula sekurang-kurangnya separuh kos pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, berdasarkan analisis kos dan manfaat projek berkenaan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tempoh itu bergantung pada jumlah mendapan sungai yang terkumpul di kawasan berkenaan sehingga membentuk tanah baharu di sepanjang pesisir pantai.
“Apabila kita mengkaji kos dan manfaat, kita boleh mendapatkan semula kos itu dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, bergantung kepada jumlah mendapan yang terkumpul di kawasan berkenaan.
“Sekurang-kurangnya, kita boleh mendapatkan semula 50 peratus daripada kos itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 dan Pengumpulan Dana Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Kompleks UNIFOR, di sini, pada Sabtu (17 Oktober).
Abang Johari berkata, cadangan membangunkan pelabuhan laut dalam itu mengambil kira keadaan muara Sungai Sarawak yang semakin cetek akibat mendapan daripada beberapa sungai, termasuk Batang Samarahan, Batang Sadong dan Batang Lupar.
“Kerja mendalamkan muara Sungai Sarawak memerlukan kos antara RM300 juta hingga RM400 juta dan perlu dilakukan setiap tiga tahun.
“Jadi, apabila kita mengkaji kos dan manfaat, lebih baik untuk membina pelabuhan terus di laut, kira-kira lapan kilometer dari pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan pelabuhan itu bukan sahaja bertujuan menyediakan kemudahan logistik yang lebih sesuai, malah berpotensi menghasilkan tanah baharu melalui pengumpulan mendapan sungai di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang dirancang sebagai pelabuhan rendah karbon yang mengendalikan kargo am dan gas.
Kemudahan itu dijangka memperkukuh keupayaan logistik Sarawak, sekali gus menyokong perdagangan dengan negara jiran serta pasaran eksport.
Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur pelabuhan ialah sebahagian daripada perancangan ekonomi Sarawak untuk meningkatkan keupayaan perdagangan dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.

