IGAN: Seni bermukun terus dipelihara sebagai warisan budaya masyarakat Igan menerusi pertandingan yang dianjurkan sempena Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Parlimen Igan 2026, yang mendapat sambutan menggalakkan penduduk.
Pertandingan itu menjadi antara tarikan utama program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Igan, sekali gus menyediakan platform kepada masyarakat untuk menghayati dan mewarisi seni tradisional yang diamalkan sejak turun-temurun.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara keunikan seni bermukun agar terus relevan dan dikenali oleh generasi muda, selain memperkukuh penghargaan terhadap identiti budaya setempat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada KEMAS Parlimen Igan atas penganjuran program yang bukan sahaja menyemarakkan warisan budaya, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian program itu.
Selain aktiviti kebudayaan, GEMA@KKDW turut menggalakkan penglibatan penduduk menerusi program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan Islam bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih dan terpelihara.
Ahmad Johnie berkata, usaha secara bersama itu memberi peluang kepada penduduk menyumbang tenaga dalam menjaga kebersihan persekitaran, selain memupuk sikap prihatin, semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama.
Pelaksanaan Program Ziarah Kasih turut menjadi wadah untuk mendekati penduduk, menyampaikan sokongan kepada golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara penganjur dengan masyarakat setempat.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan bagi memperkukuh perpaduan masyarakat desa, menyemarakkan budaya gotong-royong dan memastikan warisan seni tradisional seperti bermukun terus dipertahankan untuk generasi akan datang,” tambahnya.


