KUCHING: Sektor swasta boleh menjadi mekanisme semak imbang terhadap kerajaan dengan mengenal pasti kelemahan dasar dan sistem secara profesional demi kepentingan ekonomi Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peranan itu penting bagi memastikan kerajaan dapat menilai dan memperbaiki kelemahan berdasarkan maklum balas pihak yang berkepakaran dalam bidang masing-masing.
Menurut beliau, semak imbang tidak semestinya bergantung kepada parti politik kerana institusi profesional dan sektor swasta juga mampu menjalankan fungsi tersebut secara konstruktif.
“Institusi boleh menyemak kita. Jika sistem kita tidak baik, kita boleh menyemak semula sistem itu bersama-sama dengan anda.
“Kita bukan pakar dalam semua perkara dan mungkin terdapat kelemahan. Jadi, secara profesional, beritahu kita apa yang tidak kena supaya kita dapat memperbaikinya demi kepentingan keseluruhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 dan Pengumpulan Dana Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Kompleks UNIFOR, di sini, pada Sabtu (17 Oktober).
Abang Johari berkata, sektor swasta mempunyai kelebihan kerana dapat memberikan pandangan secara profesional tanpa terikat dengan kepentingan politik.
“Hubungan erat antara kerajaan dengan komuniti perniagaan penting bagi memastikan dasar pembangunan ekonomi dapat disesuaikan dengan perubahan persekitaran global.
“Kerjasama SBF dengan Dewan Perniagaan Indonesia serta pembentukan komuniti perniagaan Borneo yang membuka ruang kepada pengembangan perdagangan rentas sempadan,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama itu boleh diperluas kepada bidang baharu seperti perdagangan karbon, tenaga boleh baharu dan pembiayaan hijau, sekali gus meletakkan Borneo sebagai pemain penting dalam transformasi ekonomi serantau.

