ARTIKEL

Raziman di hadapan gerai Ayam Panggang Dol & Son berhampiran Wisma Jubli Sarikei.

Warisi resipi ayah, Raziman teruskan legasi Ayam Panggang Dol & Son

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Aroma ayam yang diperap dengan rempah istimewa sebelum dipanggang sempurna menjadi tarikan utama Ayam Panggang Dol & Son, iaitu perniagaan keluarga yang mula beroperasi di Terminal Stesen Bas Sarikei pada 1996.

Kini, perniagaan itu diteruskan oleh Mohamad Raziman Abdullah, 35, yang mengambil alih usaha tersebut daripada bapanya, Abang Dollah.

Bagi Raziman, meneruskan perniagaan itu bukan sekadar mengekalkan sumber pendapatan keluarga, malah menjadi amanah untuk mempertahankan cita rasa yang sekian lama menjadi pilihan pelanggan.

Bagaimanapun, perjalanan mengusahakan perniagaan itu tidak mudah apabila beliau berdepan cabaran memperkenalkan semula jenama berkenaan kepada pelanggan, terutama pada peringkat awal apabila jualan hanya sekitar 10 ekor ayam sehari.

“Sambutan yang perlahan ketika itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus bertahan. Sebaliknya, keadaan itu menjadi pendorong untuk saya berusaha memperkukuh perniagaan yang diwarisi daripada ayah,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Berkat kesabaran dan usaha berterusan, Raziman berjaya meneruskan operasi perniagaan itu di tapak tetap berhampiran Wisma Jubli Mutiara, Sarikei, sekali gus memastikan legasi keluarganya kekal.

“Alhamdulillah, saya mampu bertahan hingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, keistimewaan ayam panggang berkenaan terletak pada ramuan rempah khas yang diolah sendiri oleh bapanya sejak perniagaan itu mula beroperasi.

Resipi berkenaan terus dikekalkan bagi memastikan keaslian rasa yang menjadi identiti Dol & Son, manakala sos pencicah istimewa melengkapkan hidangan dan menambah keenakannya.

Selain mendapat sambutan penduduk tempatan, ayam panggang itu turut mempunyai pelanggan dari Sibu, Jerijeh, Belawai dan Bintangor, sekali gus membuktikan daya tarikan perniagaan berkenaan merentasi daerah Sarikei.

Bagi memperluas pasaran dan mendekati lebih ramai pelanggan, Raziman turut menyertai pelbagai pesta serta acara di sekitar Sarikei dan kawasan berhampiran.

“Pada bulan Ramadan, saya turut menyertai Bazar Ramadan untuk menawarkan ayam panggang kepada pengunjung yang mencari pilihan juadah berbuka puasa,” katanya.

Ayam Panggang Dol & Son beroperasi setiap hari dari 7 pagi hingga 6 petang, memudahkan pelanggan mendapatkan hidangan itu untuk dinikmati bersama keluarga atau dibawa pulang.

Bagi Raziman, meneruskan perniagaan keluarga itu membawa makna yang cukup besar kerana beliau bukan sahaja menyambung usaha bapanya, malah turut memelihara resipi warisan yang menjadi identiti keluarga mereka.

“Terima kasih kepada semua pelanggan yang terus memberikan sokongan sehingga kami mampu bertahan hingga kini,” katanya.

BERITA LAIN

Tiong: Pengorbanan warga kesihatan perlu dihargai

BINTULU: Pengorbanan warga kesihatan yang bertugas tanpa mengira waktu demi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada masyarakat perlu dihargai, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri

BERITA TERBARU

25 kawasan catat IPU tidak sihat seluruh negara

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat pagi ini, dengan Pasir Gudang, Johor, mencatat paras