KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat pagi ini, dengan Pasir Gudang, Johor, mencatat paras tertinggi pada 190.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), tujuh kawasan lain di Johor turut tidak sihat, iaitu Larkin dan Kota Tinggi (181), Pengerang (178), Batu Pahat (169), Kluang (163), Tangkak (160) serta Segamat (157).
Bernama melaporkan di Selangor, Johan Setia dan Shah Alam masing-masing mencatat 163 dan 161, diikuti Klang (159), Petaling Jaya (157) serta Banting (156), manakala Putrajaya merekodkan 159 dan stesen Cheras serta Batu Muda di Kuala Lumpur masing-masing 156 dan 155.
Kualiti udara tidak sihat turut dilaporkan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (172), Seremban (169) dan Port Dickson (152), sementara di Melaka membabitkan Bukit Rambai (164), Alor Gajah (161) dan Bandaraya Melaka (155).
Di Sabah, Sandakan (153) dan Tawau (103) berada pada tahap tidak sihat, begitu juga IPD Serian di Sarawak yang mencatat 153, manakala 41 kawasan lain sederhana dan dua kawasan baik.



