ARTIKEL

Tiong: Pengorbanan warga kesihatan perlu dihargai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pengorbanan warga kesihatan yang bertugas tanpa mengira waktu demi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada masyarakat perlu dihargai, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Tiong King Sing.

Beliau berkata komitmen itu turut melibatkan petugas yang bekerja pada waktu malam, hujung minggu dan musim perayaan, termasuk mereka yang terpaksa berjauhan daripada keluarga demi menjalankan tanggungjawab.

Menurutnya, setiap anggota kesihatan, termasuk doktor, jururawat, Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) dan kakitangan sokongan, memainkan peranan penting dalam memastikan penjagaan pesakit serta penyampaian perkhidmatan kesihatan berjalan lancar.

“Tanpa kerjasama semua anggota, sudah tentu sukar untuk memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan dengan baik,” katanya.

Steven merakam gambar bersama warga kesihatan yang menghadiri Makan Malam Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak (SMSU) Cawangan Bintulu dan Kelab Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) Bintulu.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Steven Kong Kai Seng, pada Majlis Makan Malam Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak (SMSU) Cawangan Bintulu dan Kelab Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) Bintulu di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Tiong berharap SMSU dan Kelab PPK terus memperjuangkan kebajikan anggota serta menyalurkan isu berkaitan tempat kerja kepada pihak pengurusan dan agensi kerajaan berkenaan untuk tindakan dan penyelesaian sewajarnya.

Beliau berkata kerjasama erat antara kesatuan, kelab dan pihak pengurusan penting bagi memastikan permasalahan yang dihadapi anggota dapat ditangani secara berkesan.

“Pandangan dan pengalaman anggota di lapangan amat penting kerana mereka lebih memahami keadaan sebenar di tempat kerja,” katanya.

Tiong turut menekankan kepentingan komunikasi berkesan serta sikap saling menghormati antara petugas kesihatan dengan pesakit bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

Beliau berharap semangat kerjasama dan sokongan sesama anggota terus diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran kerja yang positif, selain memastikan kebajikan warga kesihatan sentiasa diberi perhatian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU