ARTIKEL

Rifdean ditolak peluang pertarungan semula, Chatri persoal profesionalisme

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: “Peluangnya langsung tiada, ZERO!” Itu ketegasan Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong berhubung permintaan Muhammad Rifdean Masdor untuk mendapatkan pertarungan semula bagi merebut gelaran dunia selepas tewas kepada Nadaka Yoshinari.

Chatri menolak kemungkinan pertarungan semula membabitkan Rifdean bagi merebut gelaran dunia dalam masa terdekat, selepas mempersoalkan tahap profesionalisme jaguh Muay Thai negara itu ketika menghadapi ONE Samurai 4 di Tokyo, Jepun, semalam.

Kenyataan tegas itu dibuat selepas Rifdean, 23, tewas menerusi kalah mati teknikal (TKO) kepada juara bertahan dari Jepun, Nadaka Yoshinari, pada saat ke-58 pusingan kedua di Ariake Arena.

Chatri mendedahkan Rifdean meminta peluang pertarungan semula sejurus selepas kekalahannya, namun menegaskan permintaan itu tidak akan dipertimbangkan dalam masa terdekat.

“Rifdean meminta peluang merebut gelaran sejurus selepas pertarungan, walaupun baru sahaja tewas menerusi kalah mati.

“Dia meminta perlawanan semula dan peluang merebut gelaran. Peluangnya langsung tiada! Sifar! Anda perlu bersikap profesional,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, semalam.

Menurut Chatri, mana-mana atlet yang gagal memenuhi keperluan pertandingan, terutama dalam perebutan gelaran dunia, berdepan kemungkinan tidak diberikan peluang sama untuk tempoh panjang.

Chatri turut melahirkan rasa kecewa selepas dimaklumkan Rifdean hadir tanpa jurulatih, pembantu penjuru atau pasukan sokongan sepanjang minggu pertarungan, selain gagal memenuhi had berat badan bagi perebutan gelaran dunia.

“Dalam kes Rifdean, saya mendapat tahu persiapannya langsung tidak profesional. Dia datang tanpa pembantu penjuru, tanpa rakan sepasukan dan tanpa sesiapa untuk memantaunya sepanjang minggu pertarungan.

“Tiada jurulatih, langsung tiada sesiapa. Saya sangat terkejut apabila mendengar perkara itu,” katanya ketika menjawab pertanyaan media berhubung isu hidrasi dan pematuhan syarat pertandingan.

Chatri berkata, atlet yang diberi peluang merebut kejuaraan dunia sepatutnya memenuhi standard persediaan tertinggi, termasuk mempunyai pasukan sokongan yang lengkap.

Beliau menjadikan juara dunia seperti Jonathan Haggerty dan Nadaka sebagai contoh atlet yang sentiasa menitikberatkan profesionalisme serta disiplin menjelang pertarungan.

“Jika kita melihat atlet seperti Haggerty atau Nadaka, mereka tidak pernah gagal memenuhi keperluan tersebut.

“Mereka antara yang terbaik di dunia dan hadir dengan persiapan lengkap. Itulah standard kecemerlangan yang kami mahukan,” katanya.

Sebelum pertarungan, Rifdean gagal memenuhi had berat kategori atomweight iaitu 115 paun dalam tempoh timbang berat rasmi.

ONE Championship mengesahkan atlet kelahiran Sarawak itu kemudiannya lulus ujian hidrasi, namun mencatat berat 118.6 paun. Keadaan itu menyebabkan beliau tidak layak memenangi tali pinggang dunia walaupun pertarungan diteruskan.

Dalam pertarungan tersebut, Rifdean memberikan tentangan agresif pada pusingan pertama, namun Nadaka berjaya mengambil alih penguasaan sebelum menamatkan aksi menerusi tendangan ke kepala pada pusingan kedua.

Kemenangan itu membolehkan Nadaka mempertahankan gelaran Dunia Muay Thai ONE kategori atomweight buat kali kedua, selain membawa pulang bonus persembahan AS$100,000.

Rifdean tampil dengan rekod lima kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan kalah mati ke atas Javad Mozafari dalam masa 94 saat yang membolehkannya memperoleh kontrak utama ONE Championship bernilai AS$100,000.

Kritikan Chatri itu sekali gus meletakkan Rifdean dalam keadaan perlu membuktikan semula tahap profesionalisme dan kesediaannya sebelum mendapat peluang mencabar kejuaraan dunia.

BERITA LAIN

Selangor FC tewaskan Penang FC 3-1

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) naik ke tangga kedua Liga Super selepas mengalahkan Penang FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini,

BERITA TERBARU

Selangor FC tewaskan Penang FC 3-1

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) naik ke tangga kedua Liga Super selepas mengalahkan Penang FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini,