KUCHING: Anak muda Sarawak, Ivan Alexander Ong akan bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen Belia Malaysia (PBMY) di bawah Parti Mandat Belia (MANDAT) bagi membawa suara golongan belia negeri ini ke peringkat kebangsaan.
Ivan berkata, penyertaannya dalam pilihan raya itu bertujuan memperjuangkan dasar kemanusiaan dan alam sekitar yang lebih baik, selain memastikan pandangan golongan muda diambil kira dalam proses pembentukan dasar negara.
Katanya, golongan belia, khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak, perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan tentang isu yang menjejaskan kehidupan mereka.
“Rakyat Sarawak tidak seharusnya terhad untuk memimpin hanya di negeri kita sendiri. Kita juga layak berada di peringkat nasional, membentuk dasar yang memberi kesan kepada golongan muda di seluruh Malaysia, dan membawa perspektif Sarawak ke meja di mana keputusan nasional dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ivan turut menekankan kepentingan rekod khidmat yang dibuktikan melalui usaha di lapangan dan penglibatan dalam pembentukan dasar.
Antara penglibatannya termasuk menjadi plaintif utama dalam kes Undi18 terhadap Perdana Menteri yang diputuskan memihak kepada plaintif, menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian dalam talian dan along, serta memperjuangkan penggubalan undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan.
Beliau juga pernah menyuarakan kebimbangan tentang isu penebangan hutan dan rasuah pembalakan, selain mengemukakan cadangan pada Kongres Anak Muda 2025.
Ivan turut memperjuangkan penyertaan Sarawak dalam pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta mengendalikan kelas literasi politik untuk mahasiswa di Kuching.
Mengulas tentang MANDAT, beliau berkata parti itu mempunyai 3,868 ahli dan parti terbesar berdasarkan keanggotaan dalam kalangan 13 parti yang bertanding di PBMY.
Katanya, walaupun diasaskan oleh individu daripada Sabah, MANDAT meletakkan calon di kesemua 222 kerusi di seluruh negara, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan anak muda dari Malaysia Timur dalam perbincangan isu nasional.
Ivan berkata, golongan muda Sarawak juga perlu memainkan peranan di peringkat kebangsaan dalam membentuk dasar yang memberi kesan kepada generasi muda di seluruh Malaysia.
PBMY ialah platform belia di peringkat kebangsaan yang dimulakan oleh Parlimen Malaysia dan diluluskan oleh Jemaah Menteri bagi membolehkan golongan muda membahaskan isu negara serta menyampaikan pandangan kepada pembuat dasar.
Warganegara Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun layak mengundi melalui aplikasi ePBMy dengan pengesahan identiti menggunakan MyDigital ID, manakala ahli yang dipilih akan berkhidmat selama dua tahun.
Ivan menyeru golongan belia yang layak supaya mengambil bahagian dalam proses pengundian yang dijadualkan pada 1 November 2026.


