BAU: Masih banyak perancangan pembangunan perlu dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru untuk merealisasikan hasrat menjadikan Bau sebuah bandar maju menjelang 2030.
Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Henry Harry Jinep berkata, pelan pembangunan berkenaan masih belum selesai dan memerlukan kesinambungan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Pelan induk saya masih belum selesai dan perlu diteruskan sehingga 2030 untuk menjadikan Bau sebuah bandar maju di Sarawak.
“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan di Tasik Biru,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara dan Sarawak Academy Fire Trail (SAFT) Run 2026 di Akademi Bomba Wilayah Sarawak, di sini hari ini.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, Henry yang juga ADUN Tasik Biru berkata, PDP bersedia mempertahankan lapan kerusi yang kini dikuasainya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurutnya, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat perlu dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan, bukan hanya menjelang pilihan raya.
“Kami bukan ahli politik bermusim. Sejak dipilih sebagai wakil rakyat, kami terus bekerja sehingga tamat tempoh perkhidmatan,” katanya.
Mengenai kemungkinan menampilkan calon baharu, Henry berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan GPS selepas menerima cadangan daripada parti.
Katanya, setakat ini, PDP belum mengemukakan sebarang cadangan nama calon kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Tasik Biru atau bertanding di kawasan lain, Henry berkata, keputusan berkenaan perlu diserahkan kepada parti terlebih dahulu sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan GPS.
“Saya sendiri tidak boleh memutuskan di mana mahu bertanding. Pencalonan perlu datang daripada parti sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan GPS untuk membuat keputusan.
“Kalau orang mahu saya terus berkhidmat di Bau, saya akan teruskan,” katanya.
Henry berkata, penentuan kawasan untuk ditandingi juga perlu mengambil kira kesesuaian calon dengan masyarakat setempat serta perancangan pembangunan yang ingin dilaksanakan.
Beliau menegaskan masih banyak agenda pembangunan di Tasik Biru yang perlu diteruskan selaras dengan perancangan menjadikan Bau sebuah bandar maju menjelang 2030.



