BAU: Penganjuran aktiviti berasaskan rekreasi seperti mendaki, larian dan berjalan kaki berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke Daerah Bau yang kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, bentuk muka bumi serta keindahan flora dan fauna di Bau menjadi tarikan kepada pengunjung.
Katanya, tarikan itu ditambah dengan penganjuran pelbagai aktiviti rekreasi yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan turut mempromosikan Daerah Bau.

“Bau sangat aktif dengan larian, berjalan kaki, mendaki dan sebagainya. Ini adalah perkara yang baik untuk mempromosikan Bau.
“Geografi, topografi, gunung-ganang, flora dan fauna, kesemuanya menjadi tarikan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara dan Sarawak Academy Fire Trail (SAFT) Run 2026 di Akademi Bomba Wilayah Sarawak, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii.
Sehubungan itu, Henry yang juga ADUN Tasik Biru berkata, beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan pada masa akan datang bagi menggalakkan aktiviti rekreasi dan menarik lebih ramai pengunjung ke Bau.

Beliau berkata, penganjuran SAFT Run 2026 yang julung kali diadakan di Bau mendapat sambutan baik dengan penyertaan lebih 300 peserta dalam kategori 15KM larian denai dan 5KM larian santai.
Program itu turut merangkumi Fire Education Drill (FED) yang melibatkan kira-kira 100 peserta belia.
Henry turut merakamkan penghargaan kepada pihak bomba dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.

