KUCHING: Pemain badminton kelahiran Sarawak, Genevie Lim melakar sejarah apabila muncul juara beregu wanita Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 di Kaherah, Mesir, semalam, bersama pasangannya, Low Zi Yu.
Gandingan negara itu menewaskan pasangan Jepun, Nijika Kamata-Shizuku Kashio 15-7, 9-15, 15-12 dalam aksi final sengit, sekali gus menjadi beregu wanita pertama Malaysia meraih gelaran dunia kategori remaja sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan pada 1992.
Kejayaan itu turut menyaksikan Genevie dan Zi Yu mencatat peningkatan luar biasa kerana hanya tiga bulan lalu mereka meraih pingat gangsa Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yatsushiro, Jepun.
Presiden Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Datuk Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar menyifatkan pencapaian bersejarah itu sebagai kebanggaan besar buat Sarawak, khususnya dalam pembangunan bakat badminton tempatan.
“Kejayaan Genevie sesuatu yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Sarawak. Melihat pemain dari negeri sendiri bergelar juara dunia remaja sememangnya cukup istimewa.

“Pencapaian ini membuktikan Sarawak mempunyai bakat dan potensi untuk melahirkan pemain yang mampu bersaing serta memenangi kejuaraan di peringkat antarabangsa tertinggi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, kejayaan itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain muda Sarawak untuk mengejar impian dalam sukan badminton.
Wan Lizozman turut menegaskan komitmen SBA untuk memperkukuh pembangunan pemain menerusi latihan berkualiti serta menyediakan lebih banyak peluang kepada bakat negeri melangkah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat SBA, Datuk Dr Wan Khalik Wan Muhammad berkata, kejayaan tersebut mempunyai makna cukup besar baginya kerana beliau mengikuti sendiri perjalanan pemain itu ketika Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jepun.
“Tiga bulan lalu, saya bersama Genevie dan Zi Yu di Jepun ketika mereka memenangi pingat gangsa. Hari ini, mereka sudah bergelar juara dunia remaja.
“Melihat sejauh mana perkembangan mereka dalam tempoh singkat benar-benar membuatkan saya gembira dan bangga,” katanya.
Wan Khalik, yang bertugas sebagai pengurus pasukan Malaysia pada kejohanan di Jepun, turut mendedahkan bahawa perjalanan Genevie ke pentas dunia bukan sesuatu yang mudah.
“Perjalanan Genevie tidak selalunya mudah. Ketika dia kembali ke Sarawak selepas meninggalkan program kebangsaan, SBA terus percaya terhadap potensinya dan menyokong perkembangannya.
“Dengan sokongan Presiden SBA, kami kemudian mencadangkan supaya Genevie kembali menyertai BAM dan dia diberikan satu lagi peluang untuk membuktikan kemampuan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu menjadi bukti betapa pentingnya keyakinan serta sokongan berterusan terhadap pemain muda yang berdepan cabaran dalam perjalanan karier mereka.
“Kisah Genevie menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila kita terus percaya kepada pemain muda dan memberikan sokongan serta peluang yang sewajarnya.
“Saya berharap kejayaannya dapat menggalakkan pemain muda Sarawak supaya tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian,” katanya.
Sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan bersejarah itu, SBA akan menyampaikan ganjaran wang tunai khas kepada Genevie atas pencapaiannya menjuarai kejohanan dunia berkenaan.

