ARTIKEL

Abang Johari berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 dan Pengumpulan Dana SBF. ( FOTO RAMIDI SUBARI)

RM6 bilion kos jambatan Sarawak dijangka langsai tahun depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak dijangka melunaskan kos pelaburan jambatan sebanyak RM6 bilion menjelang tahun depan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak telah membelanjakan kira-kira RM6 bilion untuk pembinaan jambatan dalam tempoh enam tahun, manakala jumlah pelaburan bagi jambatan dan jalan raya pesisir mencecah kira-kira RM12 bilion.

“Batang Lupar sahaja sudah menelan belanja RM1 bilion. Kemudian kita mempunyai Batang Paloh, Batang Lassa, Kemena dan banyak lagi jambatan.

“Syukur, menjelang tahun depan semuanya akan dibayar dan kita tidak lagi mempunyai hutang bagi jambatan serta jalan raya berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 dan Pengumpulan Dana Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Kompleks UNIFOR, di sini, pada Sabtu (17 Oktober).

Menurutnya, peningkatan hasil negeri membolehkan kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk pembangunan infrastruktur asas, termasuk jalan raya dan jambatan yang memerlukan kos pembinaan tinggi.

Beliau berkata, hasil Sarawak yang sekitar RM6 bilion pada 2016 meningkat kepada lebih RM14 bilion pada 2024, manakala hasil negeri bagi tahun depan dianggarkan mencecah RM15 bilion.

Katanya, pengenaan cukai jualan negeri pada 2019 dan 2020, termasuk terhadap petroleum, membantu meningkatkan hasil tambahan kerajaan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.

“Dengan pendapatan tambahan ini, kita melabur semula untuk memperbaiki infrastruktur asas. Antaranya ialah kesalinghubungan jalan raya.

“Sarawak mempunyai banyak sungai, jadi kita perlu membina jambatan dan kos pembinaannya sangat besar,” katanya.

Abang Johari berkata, pembangunan jalan raya dan jambatan turut mengubah corak pergerakan penduduk apabila perjalanan yang sebelum ini bergantung kepada pengangkutan sungai kini boleh dilakukan melalui jalan darat.

Perubahan itu, katanya, menjadi sebahagian daripada pembangunan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam tempoh sedekad akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU