
KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) akan menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan estet padi di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengwujudan kerjasama ini bagi menambahkan keterjaminan makanan khususnya di Sarawak dan Malaysia amnya.
“Ini dibuat secara berskala besar sekali gus akan memberikan bekalan untuk penggunaan domestik di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Negeri Sarawak Tahun 2023, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Tambah Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, pihak Kerajaan Sarawak juga akan mengumumkannya mengenai perkara ini apabila persetujuan dicapai nanti.
Katanya, perkara ini memerlukan persetujuan daripada jemaah menteri Kerajaan Sarawak dan pengumuman akan dibuat oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.