KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meminta kepada Kerajaan Persekutuan untuk meneroka gas di kawasan luar pesisir barat Sarawak dan tempat lain di pelantar benua, bagi menghasilkan keluaran tambahan untuk memajukan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Pada masa sama, ia juga untuk memastikan PETRONAS boleh menyampaikan akses gas terjamin sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari bagi kegunaan domestik, iaitu penggunaan dalam Sarawak bagi pelaksanaan pelan tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata Kerajaan Sarawak perlu memastikan bahawa jumlah yang dijamin hendaklah disampaikan pada harga berpatutan atau harga yang akan menggalakkan pelaburan dan industri di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak, demi kepentingan negara, komited dan dengan teguh memastikan bahawa isi padu gas yang dijamin serta sebarang gas tambahan, yang dihasilkan dari luar pesisir barat Sarawak dan tempat lain di pelantar benua, akan digunakan secara mampan bagi menyokong pertumbuhan industri di Sarawak.
“Ini sekali gus memenuhi permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia dan pengeluaran tenaga bersih selaras dengan hasrat yang diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan bahawa Sarawak akan menjadi hab tenaga bersih untuk Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ia dikeluarkan sebagai maklum balas kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sesi penerangan aktiviti petroleum di Sarawak dalam Dewan Rakyat semalam.
Mengulas lanjut, Abang Johari juga memberitahu bahawa beliau telah mencapai persefahaman dalam beberapa perkara dengan Anwar, antaranya tentang peranan PETROS sebagai aggregator gas di Sarawak.
Walaupun PETROS memegang peranan tersebut, ia tidak menjejaskan kontrak sedia ada yang dimeterai oleh PETRONAS dan anak-anak syarikatnya untuk membolehkan PETRONAS memenuhi obligasi kontrak domestik dan antarabangsa.
Bagaimanapun, kata Abang Johari, prestasi kontrak sedia ada sedemikian tidak boleh menjejaskan peranan PETROS sebagai agregator gas, dan tidak bercanggah dengan peruntukan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Beliau menambah, persefahaman lain adalah semua pihak menghormati undang-undang Persekutuan dan Negeri, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan DGO 2016.
Selain itu, katanya, PETRONAS dan PETROS akan bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk memajukan kepentingan serta hasil negara dan negeri, dan kepentingan Sarawak perlu diutamakan.
Dalam pada itu, tegasnya, beliau dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menegakkan hak dan perlindungan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri seperti yang diberikan kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Kerajaan Sarawak akan memastikan pelaksanaan kuasa perundangan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah butiran 8(j) Senarai I (Senarai Persekutuan) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berkenaan pembangunan mineral, perlombongan, minyak dan medan minyak.
“Ini adalah tertakluk kepada Butiran 2(c) Senarai II (Senarai Negeri) yang memberi kuasa kepada negeri mengenai lesen pencarian, pajakan perlombongan, dan sijil berkaitan.
“Selain itu, kuasa perundangan ke atas elektrik dan pengagihan gas, yang terletak hak pada Dewan Undangan Negeri oleh Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa Perundangan) 1963, dibuat di bawah Perkara 95(1)(a) Perlembagaan Persekutuan seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) pada tahun 1962, serta dipertahankan dan dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan.
“Semua syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak mematuhi undang-undang negeri tetapi tidak terhad kepada Kanun Tanah, terutamanya berkenaan penggunaan tanah bagi penyimpanan karbon, Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 yang kini terpakai untuk mengawal selia penerokaan dan perlombongan,” jelasnya.
Justeru, dalam usaha untuk mempertahankan hak dan kuasa Perlembagaan, Kerajaan Sarawak mengiktiraf aspirasi rakyat bagi sistem penggunaan dan peruntukan gas yang lebih baik untuk menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Tambahnya, ini perlu diseimbangkan dengan keperluan kestabilan serta pertumbuhan industri minyak dan gas di Sarawak, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi global serta peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.

