ARTIKEL

Fatimah meninjau kelengkapan asas seperti tilam di depoh simpanan keperluan bencana

Kerajaan Sarawak jamin kebajikan mangsa bencana di PPS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keadaan jalan yang terputus menjadi punca bantuan lewat dihantar kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SK Tebakang Melayu, Serian.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihak kementeriannya segera mengambil tindakan sebaik menerima aduan penduduk setempat berhubung dakwaan ketiadaan kelengkapan asas di PPS berkenaan.

“Jarang berlaku PPS tidak menyediakan kelengkapan asas seperti tilam, bantal dan selimut. Justeru, saya terus meminta penjelasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“JKM memaklumkan bahawa kelengkapan tidur tersebut sepatutnya dihantar dari depoh oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebaik PPS dibuka.

“Namun, keadaan jalan yang terputus serta terlalu berbahaya menyebabkan penghantaran tidak dapat dilaksanakan serta-merta. Atas faktor keselamatan, pihak ATM dinasihatkan menunggu waktu yang lebih sesuai,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, pihak ATM telah bersedia seawal jam 4 pagi untuk meneruskan penghantaran ke PPS berkenaan sebaik keadaan mengizinkan.

“Situasi ini berlaku di luar jangkaan dan kawalan semua pihak. Disebabkan jalan terputus hubungan, kelengkapan seperti tilam, bantal dan selimut tidak dapat dihantar mengikut perancangan. Saya berharap orang ramai dapat memahami keadaan sebenar,” katanya.

Justeru beliau memberi jaminan kebajikan semua mangsa bencana yang ditempatkan di PPS sentiasa menjadi keutamaan, termasuk penyediaan bantuan dan kelengkapan asas.

Beliau menegaskan kerajaan Sarawak kekal komited memastikan semua mangsa banjir, termasuk mereka yang dipindahkan ke PPS, menerima bantuan sewajarnya tanpa sebarang pengecualian.

Fatimah meninjau kelengkapan asas seperti tilam di depoh simpanan keperluan bencana

BERITA LAIN

BERITA TERBARU