ARTIKEL

Abang Johari bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

Kerajaan Sarawak lulus cadangan naik taraf Dewan Mesra Simunjan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk meluluskan cadangan menaik taraf Dewan Mesra Simunjan bagi memberi keselesaan kepada masyarakat setempat, khususnya dalam penganjuran aktiviti.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara ini juga adalah apa yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dalam usaha memberikan keselesaan kepada rakyat.

Abang Johari (empat kanan) memotong pulut kuning bersama-sama dengan Awla (tiga kanan) sebagai acara simbolik perasmian. | Foto: Ghazali Bujang

“Awla minta kita memperbesarkan dewan ini, insya-Allah kita akan tunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan, hari ini.

Tambahnya, projek ini tidak melibatkan pembinaan bangunan baharu tetapi membesarkan lagi saiz dewan sedia ada.

Katanya, ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan oleh penduduk setempat supaya aktiviti, termasuk majlis perkahwinan, boleh diadakan dengan selesa.

“Bagaimanapun, setakat ini kita masih belum mengetahui anggaran kos yang diperlukan untuk projek naik taraf dewan tersebut.

“Sudah tentu ia memakan belanja sedikit kerana kita membesarkan ruang supaya kawasan di dalam dan luar dewan boleh digunakan untuk mengadakan aktiviti,” jelasnya.

Terdahulu, Awla ketika berucap memohon agar Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan sebuah dewan yang lebih besar di Simunjan.

“Kita memerlukan sebuah dewan yang selesa kerana keadaan dewan ketika ini agak sesak apabila terdapat penganjuran aktiviti melibatkan orang ramai,“ tegasnya.

Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap ADUN Sebuyau, Datuk Seri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ADUN Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta wakil lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU