ARTIKEL

GERAWAT ketika meninjau pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Pa Lungan di sini, hari ini.

Kerajaan Sarawak pantau projek naik taraf Jalan Pa Lungan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARIO: Kerajaan Sarawak terus memantau pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Pa Lungan sepanjang 12 kilometer bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual serta mematuhi spesifikasi dan piawaian kerja yang ditetapkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, projek berkenaan merupakan antara projek di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) yang sedang dilaksanakan.

Menurutnya, projek itu kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 4.7 peratus dan masih berada dalam jadual pelaksanaan yang ditetapkan.

“Kerajaan akan sentiasa memantau pelaksanaan projek ini dan saya berharap kerja-kerja di tapak dapat diteruskan dengan lancar, mengikut spesifikasi serta jadual yang telah ditetapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan pemantauan projek ke Pa Lungan, hari ini.

Gerawat berkata, lawatan tersebut bertujuan melihat sendiri perkembangan projek pembangunan yang sedang dan telah dilaksanakan, khususnya dalam usaha meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Selain projek menaik taraf jalan, katanya, antara pembangunan di bawah HDA yang telah siap dilaksanakan ialah Projek Bekalan Air Bersih Kampung Pa Lungan.

“Projek ini kini memberi manfaat kepada 47 isi rumah di Kampung Pa Lungan.

“Saya percaya kemudahan ini amat penting bagi memastikan penduduk menikmati bekalan air yang lebih bersih, selamat dan terjamin untuk keperluan harian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Gerawat berkata, penduduk Pa Lungan turut menerima kemudahan bekalan elektrik menerusi Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES), selain jaringan telekomunikasi yang semakin baik.

Menurutnya, penyediaan kemudahan asas berkenaan memberi impak positif terhadap kualiti hidup penduduk, terutama masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Dengan adanya kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, kita dapat melihat perubahan positif dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan pedalaman.

“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus turun padang dan memantau pelaksanaan projek-projek seperti ini bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar diterjemahkan kepada kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU