KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk memindahkan lokasi Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Samarahan ke tempat yang lebih sesuai untuk menjalankan operasi perkhidmatan dalam keadaan lebih kondusif.
Ia susulan keadaan jabatan yang agak kecil, berbanding permintaan terhadap perkhidmatan tersebut tinggi di Samarahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemindahan ini diharap dapat menambah baik perkhidmatan ini pada masa akan datang.
“Belum pasti bila ia dilaksanakan, bagaimanapun kerajaan negeri akan buat sesuatu untuk menambah baik perkhidmatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis sumbangan Yayasan Petronas di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Menjawab soalan pemberita mengenai isu tular berkenaan perkhidmatan di jabatan tersebut, Nancy mendedahkan bahawa tindak balas sudah diambil untuk melihat kepada isu berkenaan.
“Jadi, kita harap isu ini tidak berpanjangan lagi kerana individu yang menularkan perkara tersebut juga sudah padam hantaran yang dimuat naik,” jelasnya.
Awal Disember ini, tular di media sosial mengenai satu hantaran berkaitan perkhidmatan PKMB Samarahan yang tidak menyenangkan pelanggan.
Bagaimanapun, penjelasan telah diberikan daripada pihak PKMB Samarahan atas salah faham yang timbul dan individu berkenaan sudah menurunkan hantaran yang mendapat pelbagai reaksi masyarakat tempatan.


