LIMBANG: Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan bernilai RM95,590 kepada komuniti tani di Limbang bagi memperkukuh sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi, jentera dan input pertanian.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bantuan berkenaan penting bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional serta membantu meningkatkan pendapatan petani.
“Sektor pertanian kini perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, inovasi dan keusahawanan bagi meningkatkan daya saing, selain menarik lebih ramai golongan belia menceburi bidang berkenaan.
“Pertanian hari ini bukan lagi sekadar kerja tradisional, tetapi berkembang menjadi satu bidang yang berasaskan teknologi, inovasi dan keusahawanan yang mampu menjana pendapatan lebih tinggi serta menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abdul Rahman memberitahu, AgriCOP menjadi platform untuk menyampaikan teknologi dan pengetahuan terkini kepada komuniti petani menerusi ceramah, pameran serta demonstrasi lapangan.
Jelasnya, pendekatan turun padang ini turut membolehkan Jabatan Pertanian mengenal pasti keperluan dan cabaran sebenar yang dihadapi petani supaya bantuan serta intervensi dapat disalurkan secara lebih bersasar.
“Untuk rekod, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), seramai 194 petani di Limbang menerima bantuan membabitkan keluasan 99.5 hektar menerusi 46 projek pertanian dengan peruntukan RM1.085 juta.
“Manakala, sehingga Julai 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), seramai 39 petani menerima bantuan membabitkan kawasan seluas 21 hektar dengan peruntukan RM391,000,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, seramai 98 keluarga tani menerima mesin penuai padi dan mesin pengisar padi bernilai RM15,050, manakala 20 petani menerima mesin pengupas buah kopi dan mesin pengupas biji kopi kering bernilai RM7,550.
Turut disalurkan ialah bantuan baja kelapa sawit dan lada (BBKSL) bernilai RM72,990 kepada 53 pengusaha.


