KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga petugas yang terkorban dalam nahas helikopter yang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, semalam.
Sebagai tanda keprihatinan dan membantu meringankan beban keluarga yang terlibat, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju agar kerajaan negeri menyalurkan bantuan berkenaan.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya turut bersetuju untuk menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak, sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Justeru, Kerajaan Sarawak amat menghargai segala jasa dan pengorbanan para petugas yang telah melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan keberanian.
“Khidmat bakti mereka kepada masyarakat pedalaman dan rakyat Sarawak keseluruhannya akan terus dikenang dan tidak akan dilupakan,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak juga berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta waris petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter itu.
Menurut kenyataan sama, kerajaan turut menyifatkan petugas berkenaan sedang melaksanakan amanah yang amat mulia dan penting, iaitu membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
“Mereka mengabdikan diri bagi memastikan rakyat, tanpa mengira lokasi dan keadaan, terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.
“Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman, amat besar nilainya.
“Khidmat bakti mereka mencerminkan keprihatinan dan komitmen dalam memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada menerima perkhidmatan asas yang diperlukan,” ujarnya.
Dalam suasana penuh kesedihan ini, Kerajaan Sarawak juga berdiri bersama-sama keluarga dan waris yang ditinggalkan serta menzahirkan simpati, keprihatinan dan solidariti yang sedalam-dalamnya.
“Semoga seluruh ahli keluarga dan waris dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian serta kehilangan insan tersayang.
“Bagi yang beragama Islam, Al-Fatihah. Semoga roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Bagi yang bukan beragama Islam, semoga mereka yang telah pergi bersemadi dengan tenang dan damai serta semoga keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” jelasnya.

