KUCHING: Juara tujuh kali Liga Perdana Hong Kong, Kitchee SC bersedia menghadapi tekanan penyokong tuan rumah apabila menentang Kuching City FC dalam aksi kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, jam 8.15 malam esok.
Ketua jurulatih Kitchee, Inigo Calderon berkata, pasukannya tiba lebih awal di Kuching bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang lebih panas dan lembap berbanding Hong Kong.
“Kami datang pada Isnin kerana keadaan di sini agak berbeza. Hong Kong juga panas, tetapi di sini saya dapat merasakan kelembapannya lebih tinggi.
“Jadi, bagus untuk kami tiba lebih awal supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan cuaca. Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik.
“Tetapi esok akan menjadi perlawanan berbeza kerana ini aksi pertama kami di tempat lawan. Kuching juga bagi saya seperti dua pasukan berbeza apabila bermain di tempat sendiri dan di tempat lawan. Mereka sangat kuat di sini,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Menurutnya, Kitchee akan cuba mengekalkan identiti permainan sendiri tanpa terlalu banyak mengubah pendekatan semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan Kuching City.
“Kita datang untuk mendapatkan keputusan terbaik. Jika boleh menang, itu sempurna. Malah, satu mata juga penting,” katanya.
Calderon berkata, beliau turut mengikuti perkembangan The Cats termasuk kemenangan besar 4-1 ke atas Kelantan City FC dalam Piala FA serta prestasi beberapa pemain yang berada dalam momentum terbaik.
Bagaimanapun, Calderon menegaskan Kitchee tidak mahu terlalu terikat dengan kekuatan lawan sehingga mengorbankan identiti sendiri.
Mengenai status Yumemi Kanda dan Luis Eduardo Chebel Klein Nunes atau lebih dikenali sebagai Dudu, Calderon berkata keputusan sama ada kedua-duanya boleh diturunkan hanya akan dibuat menjelang perlawanan.
“Keadaan mereka akan dipantau sehingga saat akhir. Mereka sedang berusaha untuk membantu pasukan.
“Saya belum tahu sama ada mereka boleh bermula atau hanya mendapat beberapa minit, tetapi mereka sedang melakukan segala yang mampu untuk bersedia,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran kira-kira 40 penyokong Kitchee dari Hong Kong yang dijangka hadir memberi sokongan.
Calderon yang berasal dari Sepanyol dilantik mengendalikan Kitchee pada musim 2025-2026 sebelum membimbing kelab itu menjuarai Liga Perdana Hong Kong dan dirinya dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik musim lalu.



