ARTIKEL

Kerajaan Sarawak terus komited sokong rumah ibadat bukan Islam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Batu Kawa hari ini menerima peruntukan berjumlah RM200,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan gereja.

Majlis penyerahan cek disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Ir. Lo Khere Chiang.

Menurut beliau, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan semua rumah ibadat bukan Islam menerima sokongan yang adil dan saksama, selaras dengan dasar keterangkuman serta keharmonian antara agama di negeri ini.

“Kerajaan Sarawak sentiasa menitikberatkan prinsip keadilan dan saling menghormati dalam masyarakat berbilang agama.

“Melalui UNIFOR, bantuan ini dapat membantu komuniti setempat menambah baik kemudahan rumah ibadat dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan bagi kerja-kerja pembangunan dan penambahbaikan Gereja SDA Batu Kawa, termasuk menaik taraf kemudahan ibadat serta menyokong pelaksanaan program komuniti dan kebajikan untuk ahli gereja.

Sementara itu, pihak pengurusan Gereja SDA Batu Kawa yang diwakili oleh pastor, para elder, ahli jawatankuasa dan jemaah merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, UNIFOR dan Datuk Ir. Lo Khere Chiang atas sumbangan yang diberikan serta kesudian beliau mengadakan lawatan ke gereja berkenaan.

Majlis penyerahan cek tersebut turut dilihat sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan antara wakil rakyat dan komuniti setempat, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan Batu Kitang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU