KUCHING: Pertikaian undang-undang antara Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) masih berlanjutan apabila isu perlembagaan berkaitan kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan bulan depan.
Penasihat Undang-Undang Sarawak, Datuk Sri JC Fong, berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini hanya melibatkan penilaian bersifat komersial dan tidak menyentuh persoalan perlembagaan yang menjadi teras pertikaian antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi hanya menentukan kesahihan tuntutan jaminan bank tanpa menilai isu perlembagaan. Justeru, perkara tersebut perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui permohonan kebenaran yang dijadualkan bermula 16 Mac 2026.
“Perkara ini akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas ini. Perbicaraan dijangka bermula pada 16 Mac 2026, dengan kemungkinan tarikh tambahan akan ditetapkan kemudian,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan tuntutan jaminan bank bernilai RM7.95 juta oleh PETRONAS terhadap Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) adalah sah.
Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah memutuskan jaminan bank berkenaan bersifat on-demand dan tidak tertakluk kepada sebarang syarat, sekali gus membolehkan PETRONAS membuat tuntutan melalui permintaan bertulis.
Mahkamah turut mengambil kira wang jaminan bank tersebut telah diterima dan digunakan, menjadikan permohonan injunksi yang dikemukakan PETROS bagi menghalang tuntutan itu tidak lagi praktikal.
Sementara itu, wakil peguam Kerajaan Persekutuan, Datuk Cyrus Das, berkata PETROS diperintahkan membayar kos sebanyak RM50,000 selepas gagal membuktikan tuntutan tersebut bersifat tidak berpatutan atau menyalahi undang-undang.
Beliau berkata mahkamah berpandangan isu perlembagaan, termasuk persoalan kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO), berada di luar skop saman pemula dan perlu ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah sebelum itu menjelaskan prosiding semalam hanya menilai kesahihan tuntutan jaminan bank seperti yang dihujahkan dalam notis usul oleh PETROS, tanpa melibatkan cabaran terhadap Perjanjian Jual Beli Gas Sarawak (SGSA) atau keperluan lesen negeri di bawah DGO.
Menurut hakim, PETROS juga tidak memohon sebarang perisytiharan untuk mencabar kesahan SGSA atau bagi menentukan sama ada DGO terpakai kepada PETRONAS sehingga memerlukan lesen negeri, menyebabkan mahkamah tidak mempunyai asas untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
Pada prosiding itu, PETROS diwakili Tan Sri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang, Lim Lip Tze dan Rosalie Tien, manakala PETRONAS diwakili Datuk Dr Cyrus Vinala Kumar, Khoo Guan Huat serta Alex Ngu Sze Sha.
Datuk Seri Fong Joo Chung hadir sebagai pemerhati mewakili Kerajaan Sarawak.
Untuk rekod, PETRONAS menuntut jaminan bank berkenaan selepas PETROS enggan membuat pembayaran bagi bekalan gas pada Ogos 2024 dengan alasan PETRONAS tidak mempunyai lesen sah di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 untuk membekalkan gas di Sarawak.


