SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak bakal mengumumkan pakej kenaikan gaji penjawat awam negeri ini menjelang pertengahan Jun depan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum itu kerajaan akan menjalankan kajian untuk melihat butiran yang diperlukan.
“Untuk kenaikan gaji penjawat awam Sarawak, kita akan kaji butirannya.
”Saya telah memberi satu isyarat, mungkin kita boleh menambah baik sedikit apa yang telah ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Dalam hal ini, kita mempunyai satu pakej yang akan saya umumkan selepas membuat kajian dalam tempoh satu bulan setengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan, hari ini.
Tambahnya, beliau juga akan membuat pengumuman rasmi mengenai apa yang bakal dilaksanakan pada peringkat Sarawak.
“Insya-Allah, kita mampu menanggung kenaikan gaji yang akan kita umumkan nanti,” ujarnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan berita gembira bagi penjawat awam persekutuan yang akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, bermula 1 Disember tahun ini.
Menurutnya, sebelum ini kenaikan paling tinggi bagi gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan MADANI akan memastikan kenaikan kali ini akan lebih tinggi daripada itu.


