ARTIKEL

Kerajaan sedia bantu golongan wanita dalam proses perceraian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak bersedia membantu golongan wanita yang sedang dalam proses perceraian, termasuk yang kurang bernasib baik.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata terdapat sistem sokongan disediakan untuk wanita terbabit yang memerlukan bantuan, sekali gus memberi perlindungan keselamatan kepada mereka.

“Jadi ada bantuan sebenarnya disediakan, bukan sahaja di bawah kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah agensi berkaitan yang lain seperti Jabatan Kehakiman Syariah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di Wisma Wanita, hari ini.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) akan terus memperkasakan wanita melalui latihan dan pendidikan, termasuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pada masa sama, katanya, peranan wanita dalam keusahawanan turut ditekankan sebagai langkah mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pendapatan keluarga, dan mensejahterakan wanita serta masyarakat.

Di samping itu, Fatimah menegaskan kesaksamaan dan keadilan dalam kalangan wanita juga akan terus diperjuangkan kerana masih wujud ketidakseimbangan serta ketidaksamarataan.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah meluluskan Kerusi Kepimpinan Wanita di Universiti Swinburne bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita.

Selain itu, katanya, Unit Kesaksamaan dan Keadilan Gender yang baharu di bawah JWKS turut diperkenalkan bagi meningkatkan keterangkuman.

“Usaha ini adalah satu pembaharuan di bawah JWKS yang menunjukkan bahawa mereka serius dalam memastikan keterangkuman dan kesamarataan dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 akan diadakan pada 26 April di Serian Convention Centre (SCC) yang bertemakan ‘Sarawak Women Creating Legacies’.

Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk penyertaan para wanita.

Pada masa sama, Fatimah berkata satu anugerah baharu juga akan diperkenalkan bagi mengiktiraf pemimpin lelaki yang menyokong keterangkuman gender melalui dasar dan program bimbingan.

“Kami mahu mengiktiraf individu yang telah menunjukkan sokongan padu kepada wanita dalam bidang kepimpinan atau kesejahteraan wanita,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU