Kerajaan tidak abai golongan belia

DARO: Kerajaan Sarawak menyedari kepentingan generasi muda selain sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk memperkasakan peranan golongan itu.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, golongan belia merupakan nadi penggerak bukan sahaja dari segi modal insan, bahkan turut menyumbang dalam pembangunan negeri.

Menurutnya, kerajaan mengakui kepentingan generasi belia dan golongan itu diangkat dengan dibantu menerusi pelbagai inisiatif.

“Penganjuran program hari ini juga merupakan salah satu bukti kerajaan sentiasa mengambil pendekatan positif untuk melonjakkan peranan belia khususnya di daerah ini.

“Kita juga cukup bertuah kerana berpeluang meneruskan penganjurannya yang memasuki edisi ke 11,” katanya pada Program Jelajah Belia Sarawak 2020 di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.

Safiee menegaskan, kerajaan komited membangun dan menyerlahkan potensi golongan muda kerana mereka merupakan aset penting kepada negara.

Menurutnya, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh dan sentiasa meletakkan golongan belia pada kedudukan yang sepatutnya selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan cemerlang.

Beliau percaya kesepaduan di antara belia daripada pelbagai latar belakang yang dipupuk melalui acara seperti ini mampu memberi impak positif kepada pembangunan negara.

“Sehubungan itu, suka saya menasihati anak muda Daro supaya melakukan yang terbaik dan tidak melepaskan peluang yang disediakan kerajaan untuk memajukan diri dalam segenap bidang.

“Saya tahu belia Sarawak dan anak Daro khususnya mempunyai potensi besar untuk maju. Ini ditambah dengan segala kelebihan dari segi kemudahan dan prasarana yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak, mereka mempersiapkan diri ke arah itu,” katanya.

Aktiviti anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan diadakan sejak 2019 sebagai salah satu pendekatan untuk mendekati golongan belia di negeri ini.

Program padat dengan pelbagai pengisian itu bermula di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan pada 13 dan 14 April tahun lalu.

Pihak Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak menyambung semula penganjurannya setelah ditunda berikutan pandemik COVID-19.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Karim Rahman Hamzah, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhi, Residen Mukah, Hamidah Bakir, Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli dan pemimpin masyarakat.

Suara Sarawak