SIBU: Tiga beranak selisih maut apabila kereta yang dinaiki mereka melanggar pokok dalam kemalangan kendiri di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini semalam.
Anthony Nyambong, 30, serta dua anaknya, Cassandra Senia Anthony, 11, dan Clayrissa Anthony, 6, cedera dalam kejadian tersebut.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.16 malam.
Susulan itu, katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah mengerahkan 12 anggota serta sebuah jentera FRT ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari balai.
“Kereta yang dipandu Anthony hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
“Anthony bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan manakala dua anak perempuannya, Cassandra dan Clayrissa, mengalami kecederaan serius,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Andy berkata Cassandra yang duduk di belakang mengalami luka terbuka pada bahagian kepala.
Dia telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Clayrissa yang berada di tempat duduk hadapan mengalami patah paha.
“Bagi tindakan operasi, anggota memasang ‘cervical collar’ dan ‘splint’ pada kaki Clayrissa sebelum mengeluarkannya dari kenderaan tersebut.
“Sebagai langkah keselamatan, anggota bomba turut menstabilkan kenderaan dan memotong sambungan bateri untuk mencegah sebarang risiko lanjut,” katanya.
Andy menyatakan bahawa kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans dari Hospital Sibu yang tiba dengan dua unit ambulans dan enam anggota perubatan.
Setelah memastikan keadaan selamat, anggota bomba bertolak balik ke balai dan operasi ditamatkan pada jam 10.30 malam.

