MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, telah berjaya mengawal kebakaran kereta yang berlaku di Tudan Phase 4, Lorong Delima 3B pagi ini, di sini.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 10.27 pagi, dan pasukan bomba segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.38 pagi dan operasi pemadaman dimulakan sejurus selepas itu.

Menurut laporan Komandan Operasi, PBT II Henry Jugah, kebakaran melibatkan kereta jenis Perodua Kancil yang mengalami kerosakan lebih kurang 90 peratus.
“Api yang marak membakar kereta tersebut dapat dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba dalam tempoh yang singkat,” ujar kenyataan itu lagi.
Operasi pemadaman menggunakan satu pancutan salur bantu mula air dari jentera, dan keadaan berjaya dikawal pada jam 10.42 pagi.
Anggota bomba kemudian bertolak balik setelah memastikan situasi selamat.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


