SIBU: Sebuah kereta mewah yang diletakkan bersebelahan bangunan sebuah premis dilaporkan terbakar awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 1.00 pagi itu disedari penduduk di kawasan itu sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGOB) berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.02 pagi.


“Insiden berlaku bersebelahan bangunan kedai, lorong Wawasan 20B. Sejurus tiba di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz, nombor pendaftaran tidak diketahui terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak bomba menggunakan satu salur bantu mula memadam kebakaran sehingga selesai.
Operasi mengambil masa lebih setengah jam dan tamat sepenuhnya pada pukul 1.42 pagi.
“Kebakaran tiada melibatkan mangsa. Pemilik kenderaan itu juga tidak berada di lokasi,” ujarnya.



