KUCHING: Peruntukan yang besar diperlukan untuk membaik pulih jalan raya dan cerun yang khususnya musnah akibat banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini.
Justeru, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sedang memperhalusi bagaimana hendak membantu Kerajaan Sarawak membaik pulih kemusnahan tersebut.
“Tadi kami pun menerima permohonan daripada peringkat negeri, dan kami melihat bagaimana boleh membantu, tetapi kami juga perlu berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas bersama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan, melakukan kunjungan hormat kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, hari ini.
Terdahulu, Nanta dan Ahmad, yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim, dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris, turut mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Wisma Sumber Alam, dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia.
Menjelas lanjut, Nanta berkata perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuannya dengan Abang Johari, Awang Tengah dan Uggah.
Selain itu, Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pihaknya turut membincangkan isu-isu projek di Sarawak dan Sabah bagi mencari penyelesaian, khususnya dalam menangani projek lewat atau mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.
“Ini tepat pada masanya kerana tahun depan bermulalah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), dengan projek-projek yang diperlukan oleh Sarawak dan Sabah akan kita selaraskan dan juga yang mana diutamakan oleh mereka.
“Kami juga memberi pandangan bagaimana hendak melaksanakan projek itu nanti atau memohon peruntukan daripada Kementerian Ekonomi atau Kementerian Kewangan,” katanya.
Pada masa sama, Nanta berkata pihaknya turut membentangkan kepada Abang Johari tentang projek yang telah diluluskan, projek yang sedang dilaksanakan, projek yang dalam prapelaksanaan, projek sambungan, dan sebagainya.
“Kami memberi keseluruhan gambaran dalam Rancangan Malaysia hingga tahun ini, iaitu Rolling Plan 5 di bawah RMK-12.
“Projek-projek itu memang banyak, seperti infrastruktur jalan, jambatan dan sebagainya, termasuk bangunan sekolah dan hospital,” katanya.


