ARTIKEL

Wan Razly (dua kiri) bertukar dokumen persefahaman kerjasama dengan Varughese (dua kanan) sekali gus disaksikan (satu kiri) Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt; Timbalan Menteri Pelancongan, Budaya dan Kesenian, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan (tengah); dan Duta Affin Bank, Datuk Seri Siti Nurhaliza (dua kanan).

Kerjasama AFFIN-Marriott perkasa gaya hidup pelanggan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kumpulan AFFIN (AFFIN) mengumumkan kerjasama dengan Marriott International – Malaysia yang menawarkan ganjaran eksklusif serta pengalaman mewah terpilih kepada pelanggan dan pemegang kadnya, termasuk pelanggan perbankan peribadi Affin Invikta dan Affin Diventium.

Kerjasama itu membuka akses kepada 58 hotel dan resort Marriott Bonvoy di seluruh negara yang menampilkan lebih 20 jenama terkemuka, daripada mercu tanda ikonik di bandar utama hingga destinasi pulau yang menenangkan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata kolaborasi itu menandakan pencapaian penting dalam usaha memberikan ganjaran serta pengalaman mewah kepada semua segmen pelanggan.

“AFFIN juga berbangga dapat bekerjasama dengan Marriott Bonvoy Hotels & Resorts di Malaysia.

“Bersama-sama, kita membuka pintu kepada perjalanan penuh gaya, penginapan mewah dan pengalaman hidup yang melambangkan aspirasi, pencapaian serta seni menikmati kehidupan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, sempena ulang tahun ke-50 AFFIN, kerjasama tersebut juga mencerminkan komitmen transformasi AX28 yang menekankan perkhidmatan pelanggan tiada tandingan.

“Ia mencerminkan komitmen kami untuk menyampaikan perkhidmatan pelanggan tiada tandingan melalui kolaborasi yang seiring dengan perkembangan gaya hidup pelanggan berkemampuan.

“Di AFFIN, kami melangkaui sempadan perbankan untuk mencipta kenangan abadi berteraskan keanggunan, kecemerlangan perkhidmatan dan nilai murni yang telah mendefinisikan kami sepanjang lima dekad,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Pasaran Marriott International Malaysia, George Varughese, memaklumkan pihaknya teruja menyambut AFFIN sebagai salah satu rakan kongsi di Malaysia.

“Kerjasama ini membolehkan kami memperluaskan pengalaman Marriott Bonvoy Hotels & Resorts di Malaysia kepada lebih ramai pelanggan tempatan, memberikan mereka akses penginapan, keistimewaan eksklusif dan pengalaman perjalanan luar biasa di seluruh negara,” jelasnya.

Menerusi kerjasama selama setahun ini, pelanggan AFFIN akan menikmati pakej penginapan eksklusif di hartanah Marriott yang mengambil bahagian di Malaysia, selain keistimewaan menjamu selera, penjimatan makanan dan minuman serta pakej perkahwinan.

Pelanggan yang mendaftar sebagai ahli Marriott Bonvoy atau menggunakan kad AFFIN mereka di hotel Marriott Bonvoy seluruh Malaysia akan membuka akses kepada pelbagai kempen eksklusif yang direka berteraskan tiga tonggak utama: perjalanan, penemuan kulinari dan kesejahteraan.

Bagi pelanggan korporat pula, promosi ini turut menawarkan kadar istimewa untuk bilik mesyuarat dan dewan serbaguna, sekali gus menyediakan akses tiada tandingan untuk pengalaman percutian mahupun perjalanan perniagaan.

Sebagai tanda pelancaran rasmi, AFFIN dan Marriott bakal menganjurkan Pesta Pelancongan AFFIN x Marriott Bonvoy pada 15 dan 16 Oktober depan di Menara AFFIN, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Acara itu terbuka kepada umum dengan tawaran gaya hidup eksklusif, manakala pemegang kad AFFIN akan menikmati kelebihan tambahan yang dirangka khas.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU